ADVERTISEMENTspot_img

UPPM, JAPEN Perkukuh Kerjasama Strategik Dalam Penyampaian Dasar Kerajaan

Awang Kadin (kiri) bergambar sebelum memulakan perbincangan bersama Jainisah (kanan).

KOTA KINABALU : Kerjasama strategik antara Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan Jabatan Penerangan (JAPEN) Sabah dilihat dapat membendung penyebaran berita palsu serta pemperkukuh penyampaian dasar kerajaan.


Pengarah UPPM, Datuk Awang Kadin Tang JP berkata, dalam era digital tanpa sempadan, masyarakat kini semakin terdedah kepada pelbagai sumber maklumat tidak rasmi yang diragui kesahihannya.


“Bagi menangkis lambakan maklumat yang tidak sahih, UPPM perlu memulakan langkah ke hadapan dengan menjalin kerjasama erat bersama JAPEN Sabah. 

“Apabila rakyat menerima fakta yang tepat, ia secara tidak langsung akan menyokong kelancaran pelaksanaan setiap agenda pembangunan negeri yang direncanakan Kerajaan Sabah.”Dengan kekuatan 73 pejabat UPPM di seluruh negeri, sudah menjadi antara tugas utama kami untuk turun padang dan menyebarluaskan pelbagai inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada media selepas menerima kunjungan hormat daripada Pengarah JAPEN Sabah Jainisah Mohd Noor di Ibu Pejabat UPPM, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Awang Kadin berkata kedua-dua pihak kini sedang mempergiat usaha merombak pendekatan komunikasi yang bersesuaian agar mesej yang dibawa lebih mudah difahami oleh pelbagai lapisan masyarakat di pedalaman. 


Beliau berkata UPPM sedang giat memperluas kerjasama dengan beberapa agensi Persekutuan, termasuk Akademi Kenegaraan Malaysia, Jabatan Perdana Menteri dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), melalui Program Seminar Kenegaraan Malaysia MADANI Komuniti UPPM 2026. 


“Kita telah menjemput Ketua Kampung, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Setiausaha Kampung selain Ketua Anak Negeri dan Kapitan untuk mengikuti program berkenaan. 


“Program ini telah diadakan di Sandakan, Tawau dan Kota Marudu pada bulan Jun lepas manakala Beaufort, Kota Kinabalu serta Keningau akan dilaksanakan dalam masa terdekat,” ujarnya. 


Sementara itu, Jainisah berkata JAPEN Sabah komited menjalin kerjasama dengan UPPM menerusi penganjuran pelbagai program berimpak tinggi pada masa hadapan.  

Beliau berkata JAPEN terus berinovasi menerusi pelbagai platform penyampaian, termasuk pendekatan ‘infotainment’ yang menggabungkan elemen penerangan dan hiburan bagi memastikan mesej kerajaan disampaikan dengan lebih menarik kepada masyarakat.  

“Selain itu, JAPEN Sabah terus meningkatkan hebahan maklumat menerusi media sosial kerana medium itu kini menjadi saluran utama masyarakat mendapatkan maklumat secara pantas dan mudah,” katanya.  


Hadir sama Timbalan Pengarah JAPEN, Azman Sipan dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat, Peter Tong Ah Pin./Penerangan-

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN