25.8 C
Kota Kinabalu
Selasa, Julai 8, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

JORDAN SOKONG KENYATAAN SENATOR AHLI DEWAN NEGARA CADANGAN PINDAAN PERKARA 97(1) PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

Jordan Jude Ellron

KOTA KINABALU: Ketua Wiramuda Parti Solidariti Tanah Airku (StarSabah), Jordan Jude Ellron, menyeru agar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah merujuk Artikel 8 Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) untuk menuntut hak negeri terhadap 40% hasil bersih Sabah seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Jordan berkata, penggunaan Artikel 8 dalam MA63 adalah langkah yang tepat bagi Sabah dalam mendapatkan hak-hak yang telah dijamin semasa pembentukan Malaysia 1963. Menurutnya, kerajaan negeri perlu bertindak melalui perundangan setelah menunggu lebih dari 60 tahun untuk memastikan hak-hak ekonomi Sabah dipulihkan.

“Artikel 8 MA63 memberikan kuasa kepada kerajaan negeri untuk mengambil tindakan perundangan, eksekutif, atau lain-lain tindakan yang diperlukan untuk melaksanakan jaminan dan janji yang terkandung dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC). Hak 40% hasil bersih Sabah jelas termaktub dalam Bab 3 Laporan IGC, Perkara 112C, dan Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan yang sama, Jordan turut menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan pindaan Perkara 97(1) Perlembagaan Persekutuan oleh YB Senator Datuk Edward Linggu. Cadangan tersebut bertujuan bagi membezakan kuasa dan autonomi Sabah daripada negeri-negeri di semenanjung. Seharusnya Perkara 97(1) tidak terpakai kepada negeri Sabah dan Sabah berhak untuk mengutip hasil 40% sebelum menyerahkan kepada persekutuan.

“Cadangan YB Datuk Edward Linggu adalah langkah penting untuk memastikan Sabah mempunyai kuasa autonomi penuh dalam pengurusan kewangan negeri. Dengan pindaan ini, Sabah akan lebih berdaya saing dalam menguruskan hasil ekonominya,” tambah Jordan.

Jordan juga tidak lupa untuk menghargai perjuangan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (StarSabah), YB Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan, yang telah lama memperjuangkan autonomi Sabah dan hak-hak negeri seperti yang termaktub dalam MA63.

“Presiden kami, Dr. Jeffrey, telah menjadi peneraju dalam menuntut autonomi Sabah, termasuk hak 40% hasil negeri. Beliau juga memainkan peranan penting dalam memastikan Perjanjian MA63 dihormati oleh kerajaan Persekutuan,” katanya.

Jordan turut menyeru semua pemimpin Sabah untuk bersatu dalam usaha ini. Beliau percaya, sidang khas DUN Sabah untuk mengesahkan Artikel 8 MA63 adalah langkah terbaik untuk mewajibkan kerajaan Persekutuan mematuhi Perlembagaan dan menunaikan tanggungjawabnya terhadap Sabah.

“Adalah penting bagi semua pihak, tanpa mengira latar belakang politik, untuk meletakkan kepentingan negeri sebagai keutamaan. Sidang DUN Sabah perlu mengesahkan Artikel 8 MA63 demi memastikan hak kita dipulihkan,” tegasnya.

Beliau berharap tindakan ini dapat menjadi perubahan besar dalam hubungan Sabah dengan Persekutuan, terutamanya dalam memastikan keadilan pengagihan hasil ekonomi dan mengukuhkan kedudukan Sabah dalam Persekutuan Malaysia.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN