RANAU: Ahli Parlimen Ranau Jonathan Yasin telah dilantik semula ke jawatannya sebelum ini sebagai Timbalan Menteri II Kementerian Dalam Negeri Malaysia pada hari Jumaat.
Pengumuman tersebut dilakukan sendiri oleh Perdana Menteri Malaysia yang ke sembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada kira-kira jam 11.00 pagi melalui siaran langsung yang disiarkan di kaca TV.
Beberapa jam selepas pengumuman itu, Jonathan menulis satu post melalui halaman Facebooknya di mana beliau menyuarakan kesyukurannya terhadap perlantikan yang dibuat itu.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ismail kerana telah memberikan amanat kepadanya bagi menjalankan tugasan dalam jawatan yang disandang beliau itu.
“Syukur atas pembentukan Kabinet baru Kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan YAB PM DS Ismail Sabri Bin Yaakob. Terima kasih di atas kepercayaan dari YAB PM untuk saya terus menggalas amanah sebagai TMDN II di KDN. Moga kita semua diberkati Illahi,” jelas post beliau.
Sebelum ini, Jonathan telah menyatakan kesetiaannya kepada gabungan Pakatan Nasional (PN) dengan memberi sokongan kepada Ismail sebagai calon Perdana Menteri semasa pemilihan yang diadakan baru-baru ini.
“Bagi saya dan sekutu lain dari PN, kami tegas memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi kepada Dato Seri Ismail Sabri untuk diangkat sebagai PM baru untuk negara ini,” katanya minggu lalu.
Dalam Kementerian Dalam Negeri, jawatan teratas juga kekal seperti barisan sebelum ini, di mana Datuk Seri Hamzah Bin Zainuddin kekal sebagai Menteri, manakala Datuk Seri Dr Hj Ismail Bin Hj Mohamed Said sebagai Timbalan Menteri I.