KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Ranau Datuk Jonathan Yasin meminta Kerajaan Persekutuan menunjukkan bukti, jika ada, tentang persetujuan bahawa minyak yang ada pada bumi Sabah dan Sarawak diserahkan kepada Kerajaan Tanah Melayu sewaktu pembentukan negara Malaysia.
“Adakah sewaktu kita membentuk negara Malaysia, telah dipersetujui bahawa minyak yang ada pada bumi Sabah dan Sarawak itu diserahkan kepada Kerajaan Tanah Melayu pada masa itu dan dieksploitasi oleh mereka sepenuhnya?
“Dengan memberitahu kepada pemimpin-pemimpin Sabah ketika membentuk negara ini bahawa (minyak) akan menjadi milik Malaya semuanya melalui PDE yang akan dibentuk kemudian.
“Pada tahun 1963, saya percaya tidak ada perbincangan sedemikian. Kalau ada minitnya, tunjukkan minit mesyuart itu, siapa pemimpin Sabah atau Sarawak yang setuju untuk menyerahkan minyak kepada Semenanjung dan dikawal oleh Kerajaan Persekutuan sepenuhnya,” tegas beliau.
Tambahnya, sejauh mana yang diketahui, tiada persetujuan seumpama itu yang wujud, malahan melalui daripada laporan Suruhanjaya Cobbold (1962), hal tanah adalah sepenuhnya di bawah kuasa Kerajaan Sarawak dan Sabah.
Jonathan menegaskan bahawa sehingga sekarang seolah-olah keadaan tersebut tidak diiktiraf di mana hasil minyak dikawal sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata, perkara itu tidakboleh dibiarkan berterusan dan sekiranya ia menjadi pendirian yang dipegang Kerajaan Persekutuan, kemungkinan ini adalah titik akhir kepada pembentukan negara Malaysia.
“Ini adalah pengakhirannya. Sebab kami sudah bosan. Bosan kerana apa yang kami tuntut selama 60 tahun tidak dilaksanakan. Apa yang telah dipersetujui tidak dilaksanakan.
“Dengarkan ini sungguh-sungguh, kami bukan main-main. Tetapi kami sungguh-sungguh minta supaya apa yang menjadi hak kepada Sabah Sarawak ditunaikan dan dijelaskan,” kata beliau.
Sementara itu, Jonathan turut menyentuh tentang pembagian kerusi untuk Sabah dan Sarawak yang sudah terakru di mana sepatutnya ia sudah disegerakan sejak lapan tahun yang lalu.
“Kami mahukan supaya 1 per 3 kerusi itu dikembalikan kepada Sabah dan Sarawak. Kerana apa yang telah berlaku pada tahun 1974, PDA itu dibuat, diluluskan oleh Parlimen.
“Inilah sebab mengapa tidak terjaga hak kepentingan rakyat Sabah. Sebab itu tidak ada 1 per 3 kuasa untuk mahu bantah. Sebab Singapura sudah keluar, Sabah dan Sarawak sudah kekurangan kerusi.
“Buat satu undang-undang supaya bila ada penambahan kerusi maka sama-samalah naik tambah dan 1 per 3 itu akan sentiasa terjamin untuk Sabah dan Sarawak,” katanya.
Menurut Jonathan, usul tersebut sudah lama dikatakan untuk dilaksanakan namun selepas pertukaran kerajaan, sehingga kini ia tidak juga dibuat atas sebab alasan-alasan yang sangat dangkal.
“Kita mahukan supaya bersikap jujur. Malaya sudah mengambil kerusi Singapura, sebab itu perlu ada jaminan untuk laksanakan 1 per 3 kerusi sebagai perlindungan untuk Sabah dan Sarawak supaya tidak dengan sewenang-wenangnya kuasa itu diambil,” katanya.
Tambah beliau, di Ranau, perlu ditambah tiga kerusi Parlimen kerana Ranau keluasannya lebih luas daripada Melaka, Pulau Pinang dan Perlis yang mana mempunyai 11 orang MP.
“Setahun RM40 lebih juta peruntukan (untuk 11 MP), di mana pada tahun yang sama, Ranau hanya mendapat RM4 juta. Rata-rata semua kawasan di Sabah dan Sarawak lebih kurang sama keadaannya.
“Bukankah itu satu kebangkakan ekonomi yang sangat besar? Ubahlah apa yang patut supaya kita bersikap adil kepada Sabah dan Sarawak yang selama ini tidak mendapat apa yang sepatutnya,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan tentang isu hasil 40 peratus cukai yang tidak dikembalikan kepada Sabah meskipun menjadi topik hangat di kalangan para pemimpin Sabah dan Sarawak.
Beliau mengulangi pesan yang diucapkan oleh Tengku Abdul Rahman yang memberi peringatan bahawa wilayah-wilayah yang bergabung membentuk Malaysia adalah bebas untuk keluar dari persekutuan itu sekiranya negara baru itu tidak menetakan apa-apa keuntungan bagi mereka.



