Jonathan
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin terus memperjuangkan usaha menaik taraf Laluan Persekutuan 22, khususnya laluan menuju ke pekan Kundasang dan Ranau, yang disifatkannya penting bagi menyokong pertumbuhan ekonomi, sektor pelancongan serta kelancaran pergerakan penduduk di daerah itu.
Beliau membangkitkan perkara itu pada Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima Parlimen Ke-15 menerusi soalan kepada Menteri Kerja Raya mengenai status cadangan menaik taraf laluan berkenaan yang sebelum ini dikemukakan di bawah Rolling Plan 2 (RP2), walaupun menggunakan tajuk projek yang berbeza.
Jonathan berkata cadangan itu turut dibentangkan dalam Mesyuarat Saringan Antara Jabatan pada 3 Februari 2026 dan memohon penjelasan sama ada permohonan tersebut telah mendapat kelulusan.
Dalam jawapan bertulis, Kementerian Kerja Raya (KKR) memaklumkan cadangan menaik taraf Laluan Persekutuan 22 telah diambil maklum, namun semakan terhadap data trafik semasa menunjukkan tiada keperluan mendesak untuk melaksanakan projek berkenaan ketika ini.
Menurut kementerian, data Bancian Lalu Lintas 2025 di Stesen Banci HR207 menunjukkan Laluan Persekutuan 22 masih berada pada Tahap Perkhidmatan Jalan (Level of Service, LOS) A, sekali gus membuktikan laluan itu masih mampu menampung aliran trafik sedia ada dengan baik.
“Sehubungan itu, berdasarkan data semasa, pihak kementerian mendapati tiada keperluan untuk menaik taraf laluan tersebut buat masa ini,” menurut jawapan bertulis kementerian.
Bagaimanapun, KKR memaklumkan usaha memperkukuh rangkaian jalan raya di Ranau diteruskan menerusi cadangan Projek Kerja Awalan Pembinaan Jalan Ranau Bypass.
Projek itu melibatkan pembinaan laluan baharu dari Persimpangan Bundu Tuhan ke Persimpangan Kampung Lohan, yang merupakan sebahagian daripada Sambungan Jajaran WP35 Pan Borneo di sepanjang Jalan Kota Kinabalu-Sandakan (R022).
Menurut kementerian, permohonan projek berkenaan telah dikemukakan kepada Agensi Pusat untuk pertimbangan di bawah Rolling Plan 2, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13).
Skop cadangan meliputi penyediaan reka bentuk kejuruteraan, kajian trafik, Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), kajian impak sosial, kerja-kerja ukur serta proses pengambilan tanah sebagai persediaan sebelum pembinaan sebenar dapat dilaksanakan.
Bagaimanapun, kementerian menjelaskan keputusan sama ada projek itu akan diluluskan hanya akan diketahui selepas pembentangan Belanjawan Kerajaan Persekutuan 2027.
Jonathan sebelum ini beberapa kali menegaskan bahawa penambahbaikan rangkaian jalan raya di Ranau amat penting bagi menyokong pembangunan daerah yang semakin berkembang, khususnya dalam sektor pelancongan, pertanian dan ekonomi luar bandar.
Beliau berpandangan pelaburan strategik dalam infrastruktur jalan raya bukan sahaja mampu meningkatkan tahap keselamatan pengguna, malah memperkukuh hubungan antara kawasan bandar dan pedalaman serta merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan.
Walaupun KKR berpandangan Laluan Persekutuan 22 masih beroperasi pada tahap memuaskan berdasarkan data trafik semasa, cadangan pembinaan Ranau Bypass dilihat sebagai penyelesaian jangka panjang yang berpotensi meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan serta menyediakan kapasiti lebih baik bagi memenuhi keperluan pembangunan Ranau pada masa hadapan.



