Jonathan Yasin.
RANAU: Timbalan Menteri II, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jonathan Yasin berkata, jika rakyat negara ini mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pasti usaha untuk memutuskan rantaian pandemik Covid-19 akan dapat dicapai dengan berkesan.
Jonathan yang juga Ahli Parlimen Ranau, menegaskan untuk memutuskan penularan pastinya memakan masa yang agak lama sekiranya rakyat tidak peka dan gagal mematuhi sepenuhnya arahan KKM.
Justeru katanya, seluruh lapisan masyarakat perlu bersama-sama berganding bahu menamatkan pandemik covid-19 yang kini menular seluruh dunia termasuk Malaysia.
“Rakyat perlu mematuhi SOP yang dikuatkuasakan kerajaan bagi membendung penularan virus tersebut yang sukar lihat dengan mata kasar kita”, jelas Jonathan ketika dihubungi.
Beliau juga menyarankan kepada masyarakat khususnya di daerah ini supaya sentiasa mematuhi SOP ditetapkan termasuklah mengamalkan kebersihan kendiri, memakai Pelitup Separuh Muka ketika di tempat awam, sering membasuh tangan dengan sabun (Sanitizer), tidak mengunjungi kawasan sesak (ramai orang) dan mengamalkan penjarakan fizikal.
“Walaupun daerah Ranau berada di Zon Kuning ketika ini, namun sikap sentiasa berjaga-jaga harus diamalkan”, tegas Jonathan yang mahukan Ranau dan Kundasang dalam Zon Hijau.