Jonas Sunggim
KUALA PENYU: Bekas calon parti Harapan, Jonas Sunggim mengesahkan akan menyertai sekali lagi pilihan raya negeri kali ini untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N. 33 Kuala Penyu yang dijadualkan pada 26 September ini.
Beliau berkata, pihaknya sudah melakukan persiapan awal untuk tujuan tersebut sehingga ini.
Bagaimanapun, beliau ketika ini sedang memikirkan platform terbaik yang akan digunakannya dalam PRN kali ini walaupun sudah mendapat “lampu hijau” dari Parti Cinta Sabah (PCS).
“Saya sedang membuat pertimbangan dan perbincangan dengan rakan-rakan mengenai saluran yang terbaik untuk saya bertanding kali ini”, katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Katanya, sungguhpun PCS mempunyai minat kepadanya untuk menjadi calon mereka namun beliau juga akan mempertimbangkan platform lain yang boleh menyumbangkan kemenangan nanti.
Menurut Jonas, kerusi DUN Kuala Penyu dalam PRN kali ini menjadi persaingan banyak parti untuk berentap dan ia akan memberi ruang luas kepada semua calon apabila berada di gelanggang nanti.
Beliau yang memperolehi sebanyak 1,749 undi dalam pilihan raya negeri ke-14 yang lalu, tidak menolak kemungkinan untuk bertanding atas tiket Bebas sekiranya rakyat di Kuala Penyu mengkehendakinya berbuat demikian.
“Saya dengan hati terbuka akan mendengar suara rakyat di kawasan ini. Jika kehendak mereka lebih condong untuk saya bertanding sebagai calon Bebas, saya dengan rasa rendah hati menawarkan untuk memenuhi suara mereka,” katanya sambil meyakini luahan rasa dan denyut nadi rakyat.
Jonas berkata, dengan pengalaman yang dilaluinya, beliau mempunyai misi dan sasaran untuk melakukan perubahan di kawasan Kuala Penyu.
Tambahnya, perubahan tersebut mestilah mengambil kira keadilan untuk semua kaum di kawasan ini dan kemudahan prasarana yang melibatkan kepentingan orang ramai setiap hari ini.
“Kita perlu ada keadilan dalam semua hal bagi menjamin keharmonian semua kaum yang ada serta membuka peluang seluas-luasnya kepada mereka,” tegasnya.
Menurut beliau, pihaknya akan bertegas meneruskan prinsip seumpama itu kerana percaya inilah sebenarnya yang dinanti-nanti oleh rakyat di kawasan Kuala Penyu selama ini.
“Kita bukan siapa-siapa, walau apa juga status kita. Tetapi rakyatlah yang berkuasa menentukan jatuh bangun seseorang calon,” ujarnya.