KOTA KINABALU: Institut Penyelidikan Bioteknologi (IPB) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mempelawa orang ramai untuk menyertai Simposium Cabaran Pengawalan Keselamatan Projek-projek Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Bioteknologi Transnasional 2020 pada 9 Disember ini.
Pengarah IPB, Dr Zafina Amin berkata, simposium itu membariskan pakar-pakar terkenal dari Malaysia dan Indonesia yang akan berkongsi pengetahuan mengenai topik berkaitan dengan peraturan, biokeselamatan dan cabaran menjalankan atau mengendalikan penyelidikan dalam makmal bioteknologi, khususnya bagi pengendalian mikroorganisma patogenik.
“Simposium ini akan diadakan secara atas talian dengan menggunakan platform ZOOM dari jam 2 petang hingga 4:30 petang.
“Simposium ini diadakan secara percuma dan pihak penganjur mengalu-alukan penyertaan dari penyelidik, pensyarah, pelajar pascasiswazah, dan orang ramai.
“Penyertaan boleh dibuat dengan mengimbas kod bar 2D yang terdapat pada poster jemputan,” katanya.
Dr Zarina berkata demikian dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Menurutnya, penganjuran simposium itu seiring dengan masalah kesihatan global yang sedang dihadapi pada masa kini iaitu wabak Severe Acute Respiratory Syndrome Coronavirus 2 (SARS-CoV-2) yang dikenal pasti dari keluarga Coronaviridae.
“Wabak SARS-CoV-2 atau lebih dikenali dengan Covid-19 telah mula tersebar sejak tahun 2019 dan kini telah berleluasa hampir ke seluruh pelusuk dunia.
“Bagi menjalankan penilaian risiko yang tepat dan berkesan serta mendokong amalan makmal dengan lebih baik, kesiapsediaan terhadap kes penularan COVID-19 dan mikroorganisma berjangkit lain memerlukan panduan, polisi dan prosedur khusus, terutama bagi petugas-petugas makmal,” katanya.
Ujar beliau, biokeselamatan dan biosekuriti adalah dua elemen penting yang menjadi asas terhadap kawalan makmal dalam pengendalian mikroorganisma yang sangat mudah menular atau tersebar.
“Elemen ini juga penting bagi melindungi kesihatan awam kerana ianya akan memastikan pencegahan terhadap kemungkinan berlakunya penyebaran wabak dan pandemik dari mikroorganisma berkenaan,” katanya.
Dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Penyelidikan Laluan Sutera Maritim Malaysia, simposium itu ditaja sepenuhnya syarikat Nixon Malaysia Sdn. Bhd.
Antara panel pakar yang dijemput termasuklah Pengarah Tropical Infectious Diseases Research & Education Centre (TIDREC) Universiti Malaya, Profesor Dr Sazaly Abu Bakar; Pengarah Kanan Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) Malaysia, Dr. Hajah Zalini Yunus; perunding perubatan dan bekas Ketua Pusat Penyelidikan Klinikal Hospital Queen Elizabeth, Dr. Joseph Lee Han Kyun serta Dr. Zarina sendiri.
Turut menjadi panel jemputan ialah Penyelidik Universiti Gadjah Mada, Yogyakarta, Dr. Dewajani Purnomosari yang juga anggota penilai National Authority for Containment (NAC), Kementerian Kesihatan, Republik Indonesia.
Simposium ini dijangka turut membahaskan pandangan mengenai beberapa vaksin COVID-19 yang telah diuar-uarkan dalam media massa.