Nurhidayah Ariel Estrellas Vicente dan Mohamad Muazhadif
LABUAN: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan Labuan mencari ibu kandung atau waris kepada dua kanak-kanak bagi membantu proses penempatan dalam jagaan Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS).
Pengarahnya, Ansharey Matarsad berkata kedua-dua ibu kandung atau waris diperlukan untuk berbincang dengan Pelindung kes bagi mengetahui perancangan penempatan kanak-kanak selanjutnya.
Dua kanak-kanak tersebut dikenali sebagai Nurhidayah Ariel Estrellas Vicente berumur 7 tahun dan seorang lagi dikenali sebagai Mohamad Muazhadif berumur 13 tahun.
Sehubungan itu, pihak JKM Labuan sedang mencari ibu kandung Nurhidayah yang bernama Syvelyn Mahilum dan ibu kandung Mohamad Muazhadif yang dikenali Harijah Abdul Rahman.
“Kedua dua kanak kanak itu kini berada dalam jagaan orang yang layak dan sesuai (OYLS) mengikut perintah mahkamah di bawah Seksyen19(2) Akta Kanak-Kanak 2001” katanya di sini, pada Khamis.
Ansharey berharap ibu kandung atau waris kanak-kanak tersebut dapat hadir ke pejabat JKM Labuan atau menghubungi terus pelindung iaitu Zamrin Abdul Maliah ditalian 087424961 dengan kadar yang segera.
Katanya, kes kanak-kanak ini adalah kes pengabaian di bawah Seksyen 17(1)(d) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan.