BERMESYUARAT….Tan Eng Sing (duduk enam dari kiri) ketika bermesyuarat dengan Jawatankuasa Pencinta Haiwan (SPCA).
RANAU: Jawatankuasa Kemasyarakatan Dalam Bandar (JKDB) pekan di sini, akan memberi tumpuan perancangan aktiviti dalam aspek Kebersihan dan Keselamatan kawasan Perkadaran Bandar sepanjang tahun 2022.
Pengerusi JKDB pekan Ranau, Tan Eng Sing ketika ditemui memberitahu, banyak aspek yang dirancang untuk berganding bahu dengan pihak Majlis Daerah Ranau (MDR) dalam aspek Kebersihan, Kecantikan, Keindahan dan Keselamatan (4K) pekan dan sekitarnya demi manfaat orang awam.
Menurutnya, pihak JKDB juga merancang lokasi yang sesuai untuk menempatkan peralatan Pengkomposan daun kering dan ranting yang hasilnya boleh dijadikan baja pokok bunga yang di tanam di tempat-tempat strategi kawasan pekan Ranau.
“Sayang tu daun kering dan ranting kayu yang selama ini dibuang atau dibakar begitu sahaja tanpa memikirkan bahawa ia sebenarnya boleh dijadikan baja kompos kepada tanaman pokok jika diproses menjadi baja kompos.
“Bagaimanapun, semua perancangan aktiviti itu hanya dapat dilaksanakan sepenuhnya apabila pandemik Covid-19 akan berakhir”, tegas Tan.
Menurutnya lagi, pihak JKDB pekan Ranau juga akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) daerah dalam usaha mewujudkan 4K pekan Ranau termasuk mengatasi masalah yang timbul berikutan kehadiran anjing-anjing liar berkeluaran di kawasan pekan Ranau.
“Kita sudah bermesyuarat bersama Jawatankuasa Pencinta Haiwan (SPCA) untuk mengatasi masalah anjing liar tiada pemilik berkeliaran di kawasan pekan mencemarkan kebersihan pekan, malah membahayakan keselamatan awam kerana beberapa kali sudah orang kena gigit itu anjing yang berkeliaran”, tambah Tan.