30 C
Kota Kinabalu
Jumaat, April 19, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Jentera Wanita akan menggoncangkan dunia dalam PRU15

Jonathan dan lain-lain ketika merasmikan majlis itu pada Sabtu

RANAU: Pengorbanan jentera wanita dalam mendokong perjuangan parti semasa menempuhi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak akan sia-sia kerana mereka akan menggoncangkan dunia politik tanah air.

Penyandang Kerusi Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin berkata, pergerakan wanita sedang giat menghimpunkan tangan-tangan mereka dan menghubungkan tangan-tangan yang lain bagi sama-sama memastikan kejayaan pada PRU kali ini.

“Kita amat berterimakasih kepada jentera wanita dalam parti atas kerja keras mereka membantu dalam serba-serbi yang diperlukan oleh jentera yang lain bagi menggerakkan gabungan ini ke tahap yang lebih maju lagi.

“Jentera wanita terpaksa meninggalkan keluarga, berusaha dengan berjalan ke sana-sini sambil menghebahkan mesej-mesej parti melalui Whatsapp dan telefon mereka sejak beberapa bulan ini. Begitu besar dan penting peranan mereka,” kata beliau.

Jonathan yang juga mantan Pembantu Menteri II Kementerian Dalam Negeri, berkata demikian semasa merasmikan Majlis Pelancaran Jentera Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) P179 Ranau dekat sini pada hari Sabtu.

Sementara itu, beliau berkata pada ketika ini, persoalan tentang siapa calon yang akan bertanding di kawasan Parlimen Ranau masih belum ditentukan oleh pihak atasan parti.

Walaubagaimanapun, beliau telahpun mengisi borang untuk pencalonan namun jawapan hanya akan diketahui dalam beberapa hari lagi iaitu antara 1 atau 2 haribulan November depan.

“Setakat ini baru hantar borang sahaja, tapi walau apa pun, kita akan menghormati apa jua keputusan yang akan dibuat oleh pimpinan parti. Di peringkat ini, kita ada penuh keyakinan dengan kepimpinan parti yang membuat keputusan,” kata beliau.

Menurut Jonathan lagi, PRU kali ini merupakan Pilihan Raya yang penting kerana ini menyentuh tentang masa depan seluruh rakyat Malaysia termasuk warga di Sabah dan Ranau.

Justeru beliau menggesa rakyat di sini agar membuat keputusan yang bijak dengan memberikan undi mereka kepada calon GRS dalam PRU15 ini kerana kemakmuran yang dinikmati terutama di bawah pentadbiran Kerajaan GRS di negeri ini.

Sebaliknya, beliau memberi peringatan akan risiko yang akan dihadapi jika rakyat salah memilih calon dari parti yang hanya menjanjikan bulan dan bintang dalam kempen pilihanraya mereka namun tidak mampu merealisasikan apa yang dijanji.

Turut hadir Adun Dilantik merangkap Ketua Wanita GRS Ranau, Datuk Amisah Yassin, Ketua Wiramuda Star Sabah merangkap Timbalan Ketua Pemuda GRS Sabah, Kong Soon Choi, Timbalan Presiden SAPP merangkap Ahli Majlis Tertinggi GRS, Japiril Suhaimin, Ketua Pemuda GRS Ranau, Rosdi Abdul Ghani dan lain-lain.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN