Ir. Ts. Ahmad Izram ( enam dari kanan) dan Abdul Rahman (lapan dari kiri) bersama para peserta seminar OKK.
LABUAN: -Sebanyak 6,979 notis arahan penghapusan bahaya kebakaran dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia sejak Januari hingga Jun tahun ini.
Demikian kata Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Ir. Ts. Ahmad Izram Osman pada sidang media bersama pemberita sejurus merasmikan Seminar Organasasi Kebakaran Keselamatan (OKK) peringkat Wilayah Persekutuan Labuan, di sini pada Khamis.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Wilayah Persekutuan Labuan, Abdul Rahman Ali.
Beliau berkata, notis itu dikeluarkan adalah hasil daripada 10,158 pemeriksaan yang dijalankan menerusi inisiatif Menghapus Bahaya Kebakaran (MBK) yang dijalankan untuk tempoh yang sama Januari hingga Jun tahun 2025.
“Pencapaian ini mewakili 66 peratus daripada jumlah sasaran pemeriksaan MBK yang telah ditetapkan bagi tahun 2025 sebanyak 18,050 pemeriksaan dan ini sekaligus menunjukkan komitmen berterusan jabatan dalam memastikan keselamatan kebakaran dipertingkatkan secara menyeluruh di seluruh negara”, katanya,
Jelas beliau, JBPM juga telah melaksanakan pemeriksaan khas keatas premis yang diubah suai yang dijadikan bilik sewa yang lazimnya dikenali sebagai ‘Liang Lahad’ atau Sarang Burung.
“Sehingga Julai 2025, sebanyak 140 pemeriksaan telah dilaksanakan di seluruh negara keatas premis yang berisiko ini, selaras dengan usaha jabatan untuk memastikan penguatkuasaan terhadap piawai an keselamatan kebakaran serta mengurangkan risiko kemalangan nyawa dan harta benda akibat kebakaran “, katanya.
Sementara itu, lebih 200 peserta yang melibatkan agensin kerajaan, swasta, pemilik serta pengurus premis, badan profesional industri, dan pengamal keselamatan kebakaran menyertai seminar sehari itu.
Seminar tersebut menjadi medan strategik bagi perkongsian ilmu, pengukuhan jaringan kerjasama antara JBPM dan komuniti industri.
Selain menjadi pemangkin usaha menjadikan Wilayah Persekutuan Labuan sebuah wilayah yang selamat, mampan dan berdaya tahan.



