TERIMA KASIH…Mariana turut menerima cenderakenangan disampaikan Dr.Taufiq (kiri) diperhatikan Datuk Jonathan (belakang dua dari kanan) dan Syahrin (belakang kanan sekali) bersama para kenamaan yang lain.
KUNDASANG: Warga kawasan di sini khususnya Komuniti Kg.Sinisian terletak tidak jauh dari pekan Kundasang merakam penghargaan terima kasih kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri II, yang juga Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin kerana sudi hadir menyempurnakan Majlis Perasmian Tapak Pengkomposan Komuniti Kundasang dan Sesi Pemindahan Ilmu Bersama Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Persatuan Peniaga Bumiputera kawasan Kundasang, yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa majlis perasmian Tapak Pengkomposan itu, Mariana Binti Taliban mewakili seluruh komuniti Kundasang juga berterima kasih kepada pihak UMS kerana inisiatifnya memancarkan Ilmu teknologi listarinya ke kawasan Kundasang yang pastinya akan memberi impak baharu kepada golongan petani untuk mendapatkan baja organik yang terbaik hasil daripada Pengkomposan berkenaan.
Menurutnya, dengan adanya Pengkomposan itu, para petani boleh menghantar sisa buangan sayur mereka ke tapak Pengkomposan berekenaan untuk diproses semula menjadi baja organik yang berkualiti yang sudah pasti dapat mengurangkan kebergantungan terhadap penggunaan baja kimia daripada luar negeri.
“Dengan adanya projek Pengkomposan ini, boleh mengurangkan penggunaan baja kimia yang diperoleh daripada luar yang harganya telah melambung tinggi”, jelas Mariana ketika ditemui.
Datuk Jonathan dalam ucapan perasmiannya, memuji UMS atas pelaksanaan projek tersebut yang banyak memberi sumbangan berfaedah kepada warga petani bukan sahaja khusus kepada penduduk Kundasang malah Ranau dan negeri Sabah amnya.
“Kita amat mengalu-alukan pemindahan ilmu projek seumpama ini untuk memberi banyak manafaat kepada para petani khususnya yang tinggal di persekitaran Gunung Kinabalu menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negeri”, tegas Datuk Jonathan.
Menurutnya lagi, dengan adanya Pengkomposan itu, mampu mengurangkan longgokan bahan buangan sisa sayuran yang mengundang kepada haiwan seperti tikus dan lalat yang dikhuathiri menjejaskan kualiti alam sekitar dan kesihatan awam.
Berucap sama ialah, Naib Cancelor UMS, Dr.Taufiq Yap Yun Hin, sementara antara tetamu undangan yang hadir ialah, Pegawai Daerah Ranau, Syahrin Bin Samsir bersama para Pensyarah UMS dan ratusan penduduk Kundasang diserikan dengan paluan gong oleh warga Kumuniti Kg.Sinisian dan bunyian alat muzik bambu oleh Kumpulan ‘Buluh Perindu’ Anak Seni Kg.Sinisian, pimpinan Mariana Taliban.
            Â