29 C
Kota Kinabalu
Jumaat, April 18, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Jawatankuasa Fatwa Negeri Teliti, Selidik GISBH di Sabah

Arifin ketika ditemui media di Dewan Bahasa dan Pustaka.

KOTA KINABALU : Jawatankuasa Fatwa Negeri Sabah kini sedang meneliti dan menyelidik Global Ikhwan Service and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) daripada sudut hukum.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Arif berkata tindakan tersebut dilaksanakan bagi mengenal pasti sekiranya terdapat pelanggaran akidah dalam organisasi GISBH di negeri ini.

“Kita masih menunggu mesyuarat jawatankuasa fatwa negeri Sabah yang akan bermesyuarat pada awal Oktober.

“Sekarang mereka sedang membuat penyelidikan dari sudut hukum, dari sudut lain kita serahkan kepada pihak berkuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kita juga ada jawatankuasa bersama pihak polis dan pihak yang kita sebut sebagai Jawatankuasa Penyelarasan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah (JaPHEIS).

“Saya pengerusinya juga akan melihat perkara atau isu-isu berhubung akidah, halal dan lain-lain,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Membangun Sabah Dalam Perspektif Malaysia Madani, pada Khamis.

Pada majlis tersebut, Arifin juga melancarkan Program Dakwah Negara 2024 Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

Dalam pada itu, Arifin yang juga Exco Agama memaklumkan, konsep Malaysia Madani adalah satu kerangka fundamental yang mengangkat nilai-nilai kemanusiaan, keadilan, kebersamaan, dan kemajuan.

“Malaysia Madani menekankan pembinaan masyarakat yang berpaksikan perpaduan serta keseimbangan antara material dan spiritual,” ujarnya.

Dalam konteks Sabah, Malaysia Madani selaras Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), yang mengutamakan pembangunan ekonomi, sosial, dan infrastruktur dengan memanfaatkan sepenuhnya potensi negeri serta rakyatnya. -Penerangan-

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN