OLEH: MARRYAN RAZAN
KOTA BELUD: Jasa dan bakti anggota keselamatan, termasuk para pesara polis sentiasa dihargai oleh Kerajaan Negeri Sabah kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick.
Beliau berkata, ini kerana keamanan dan keharmonian yang dinikmati selama ini adalah hasil jasa bakti anggota keselamatan seperti polis dan tentera, maritim serta agensi keselamatan lain yang menjaga sempadan dan kedaulatan negara.

“Dalam keadaan di mana berlakunya peralihan kuasa, peranan anggota keselamatan sangat penting untuk memastikan keamanan dan keharmonian dalam negara terus terjaga dan diurus dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Cawangan Kota Belud di Dewan Pengaman IPD Kota Belud, di sini, pada Sabtu.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, beliau menghadiri mesyuarat agung itu bukan semata-mata memenuhi jemputan merasmi, tetapi yang paling utama ialah menyampaikan ucapan penghargaan dan terima kasih di atas pengorbanan dan jasa bakti semua bekas anggota polis, amnya dan di cawangan Kota Belud, khasnya.
“Saya juga hadir khusus untuk menyatakan sokongan saya selaku salah seorang Wakil Rakyat di sini kepada persatuan ini agar kebajikan ahli-ahlinya dapat diurus dengan baik.
“Sebagai tanda sokongan dan penghargaan di atas jasa bakti bekas anggota-anggota polis di daerah ini, saya menyalurkan sumbangan one-off sebanyak RM10,000 kepada PBPM Kota Belud di bawah peruntukan program touchpoint saya untuk kebajikan ahli dan pentadbiran persatuan.
“Jumlah yang sama juga telah saya sampaikan kepada Persatuan Veteran Tentera Kota Belud pada tahun lepas,” katanya.
Beliau berharap sumbangan itu sedikit sebanyak dapat membantu menjayakan aktiviti-aktiviti yang akan dianjurkan oleh persatuan bagi membantu anggotanya.

Dalam mesyuarat tersebut, PBPM Kota Belud telah melantik Ewon sebagai penaung persatuan. Sebelum ini, Persatuan Veteran Tentera Kota Belud juga melantik beliau sebagai penaung.
Turut hadir Pengerusi PBPM Negeri Sabah Datuk Awang Kassim Haji Awang Gemok, Pegawai Daerah Kota Belud Hajah Diyanah Abdullah, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Kadamaian Saikom Watis dan Wakil OCPD Kota Belud Asisten Supritendan Tan Guan Chai. –TAMAT–




