AZMAN ketika bersiaran menerusi Program Bicara Esklusif LABUANfm.
LABUAN: Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Wilayah Persekutuan Labuan akan menganjurkan sembilan program utama bagi mengisi Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat Wilayah Persekutuan Labuan.
Pengarahnya, Azman Sipan berkata antara pengisian utama adalah Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang, Aktiviti Berjalan 6600 Langkah Merdeka, Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang, dan Pertandingan Sketsa Rukun Negara.
Turut dianjurkan ialah ialah Anugerah Semarak Gemilang, Demokrasi Kita@ Kelab Malaysiaku dan Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA).
“Aktiviti-aktiviti ini dilaksanakan bagi menggelorakan serta menghayati sambutan Hari Kebangsaan ke 66 tahun dan Hari Malaysia pada tahun ini selain menyuburkan perpaduan yang tinggi dalam kalangan rakyat berbilang kaum di pulau ini selari dengan tema sambutan tahun ini “Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan” katanya semasa bersiaran dalam Program Bicara Esklusif LABUANfm, di sini, pada Selesa.
Beliau berkata, Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 yang diadakan pada 6 Ogos ini di Medan Selera akan diselitkan dengan beberapa acara sampingan.
“Pada majlis itu nanti turut diadakan Senam Seni Merdeka, Aktiviti Berjalan 6600 Langkah Merdeka, gerai pameran agensi kerajaan, pemeriksaan kesihatan dan pertandingan mewarna kanak-kanak serta perlepasan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang”.
“Kembara Merdeka Jalur Gemilang akan dilaksanakan di pelusuk Labuan pada setiap minggu sepanjang bulan Ogos serta akan singgah di beberapa lokasi yang melaksanakan Program Semarak Gemilang” katanya.
Azman turut merakamkan penghargaan kepada semua rakan strategik terutamanya Perbadanan Labuan yang banyak membantu memudahkan penganjuran sambutan bulan kebangsaan tahun ini.
Sementara itu, beliau menyeru kepada semua warga Labuan untuk mula menzahirkan rasa cinta terhadap negara melalui kibaran Jalur Gemilang di semua tempat yang bersesuaian.