31 C
Kota Kinabalu
Isnin, Mac 17, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

James Ratib korbankan masa bersama keluarga demi keselamatan dan kebajikan rakyatnya yang ditimpa musibah banjir

DISEBALIK keriangan individu lain meraikan Sambutan Tahun Baru 2022 bersama ahli keluarga tercinta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut, Datuk James Ratib mengambil keputusan untuk terus berada dikawasannya bagi menjaga kebajikan dan keselamatan rakyat yang berhadapan dengan musibah banjir kesan hujan berterusan.

Menyingkap komitmen pemimpin itu yang tidak pernah mengenal erti penat lelah, pihak media berkesempatan mengikuti beberapa program misi penyelamatan dan pengagihan barangan makanan yang dijalankan oleh beliau bersama Agensi Penyelamat serta kakitangan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Dun Sugut pada 01 hingga 03 Januari 2022 lepas disekitar perkampungan Mukim Pekan Botition.

Sifat prihatin Datuk James Ratib yang juga Pembantu Menteri Pertanian Dan Perikanan Negeri Sabah terhadap rakyat kawasannya memukau perasaan kerana beliau bukan sahaja sanggup menaiki sampan menyusuri arus deras, malah sesekali ada kawasan yang terpaksa diredah secara berjalan kaki dan dipenuhi salut lumpur yang tebal.

Namun itu tidak mematahkan semangat beliau selaku pemimpin yang dipilih rakyat untuk menyapa, menasihat serta menghulurkan bantuan buat mereka yang terjejas tidak kira apa juga latar belakang.

Ketika sampai di Kg. Pamol, kelihatan seorang lelaki yang telah berusia sekitar 70-an dikenali sebagai Pakcik Tumbung terlantar sakit dan rumahnya turut dinaiki air. Sapaan mesra penuh kasih sayang daripada Datuk James Ratib membuatkan beliau begitu terharu sehingga menitiskan air mata kerana terpegun dengan keperihatinan pemimpin mereka.

“Terima kasih Datuk kerana dalam keadaan susah macam ni,Datuk tetap bersama kami”. Kedengaran kata-kata penghargaan Pakcik Tumbung dalam bahasa suku kaum Sungai dilontarkan.

Dalam masa sama, beliau juga menyampaikan bantuan barangan makanan serta menghulurkan sedikit wang saku bagi menampung perbelanjaan perubatan mangsa tersebut.

Manakala di Kg. Cocos pula, tindakan pantas Datuk James Ratib bersama penduduk kampung telah berjaya menyelamatkan sepasang suami isteri yang terkandas akibat paras air banjir semakin tinggi. Pasangan itu dipercayai terperangkap lebih kurang dua jam di salah sebuah ladang kelapa sawit ketika dalam perjalanan membeli susu bayi dan juga makanan asas yang lain.

Pasangan itu menyatakan perasaan syukur dan berterima kasih atas bantuan yang diberikan. Bagi mereka, itu adalah kerja mulia daripada pemimpin berjiwa rakyat yang sudah tentu menjadi kenangan manis dalam kehidupan mereka.

Sesekali misi menghantar bantuan menjadi sedikit sangsi apabila melalui kawasan banjir dalam ladang kelapa sawit di Kg Bayoh dan Kg.Lumantik kerana bimbang jika terserempak dengan haiwan berbisa seperti ular tedung, ular sawa atau buaya.

Namun, kebimbangan itu terus reda kerana tugas tersebut turut disertai beberapa anggota keselamatan seperti Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam (APM). Diyakini, kesemua anggota agensi itu antara mereka yang berani dan terlatih dalam semua aspek kecemasan.

Dilihat, semua petugas yang terlibat dalam kerja-kerja penyelamatan dikedua-dua kawasan kampung itu turut terhibur kerana Datuk James Ratib begitu mesra menyapa mereka dengan lawak jenaka beliau untuk menghilangkan kepenatan sepanjang penugasan.

“Mari kita ‘Selfie’ dulu sini untuk kenangan”. James mengajak para pegawai dan anggota penyelamat bergambar diatas bot penyelamat yang membawa bersama barangan keperluan untuk diagihkan kepada penduduk terjejas. Kesemua melontarkan senyuman manis walau tugas yang dijalankan berhadapan dengan risiko.

Ketika senja berlabuh, bot dinaiki pemimpin itu mulai keluar dari kampung-kampung yang terjejas musibah banjir. Disetiap penjuru kediaman penduduk, pasti kelihatan lambaian tangan rakyat yang berterima kasih kerana telah menerima bantuan daripada pemimpin mereka.

Selama tiga hari misi menyelamat dan pengagihan bantuan dijalankan, dianggarkan sebanyak 500 bakul makanan telah berjaya disampaikan kepada 12 buah kampung dalam Mukim Pekan Botition. Dalam kenyataan ringkas Datuk James Ratib, beliau berkata, bantuan sewajarnya akan terus diberikan kepada seluruh penduduk yang terjejas dari masa ke semasa.

Ketika pihak media meninggalkan kawasan itu, misi menyelamat dan mengagihkan bantuan masih berjalan kerana paras air banjir belum menunjukkan penurunan akibat keadaan cuaca hujan masih belum reda sepenuhnya.

Semoga seluruh rakyat dikawasan Sugut dan Beluran terus mendapat perlindungan daripada Allah SWT dan dijauhi daripada segala musibah serta bala bencana dan wabak penyakit.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN