27 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Februari 15, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

James lancar Jerayawara Bengkel Keibubapaan: Pengendalian Kanak-Kanak Berkeperluan Khas Peringkat Negeri Sabah

Datuk James (kanan) menerima cenderahati disampaikan Dr Shim, mewakili Pengarah JKNS.

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk James Ratib telah melancarkan Jerayawara Bengkel Keibubapaan: Pengendalian Kanak-Kanak Berkeperluan Khas Peringkat Negeri Sabah pada Sabtu.

Jerayawara yang diadakan bertempat di Ballroom Shangri-La Tanjung Aru Kota Kinabalu itu merupakan salah satu program di bawah bantuan Geran Program Sosial Kanak-Kanak Kementerian beliau melalui Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah.

Ia diadakan bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan kanak-kanak berkeperluan khas.

“Bengkel pagi ini dilaksanakan oleh Unit Intervensi Dan Pengkayaan Kanak-Kanak (atau nama lain Child Intervention & Enrichment Centre) Hospital Mesra Bukit Padang, dan beberapa pertubuhan sukarela kebajikan iaitu Badan Kebajikan Psikiatri Sabah (BKPS), Persatuan C.H.I.L.D. Sabah dan Persatuan Kesihatan Jiwa Sabah.

” Tahniah kepada semua ahli jawatankuasa penganjur dan para peserta atas komitmen dan kerjasama dalam menjayakan bengkel ini yang julung kali diadakan pada peringkat negeri Sabah dan akan diadakan di 4 daerah iaitu Kota Kinabalu (pada hari ini), Sandakan (11 Mac), Tawau (18 Mac) dan akhirnya di Keningau (13 Mei),” kata beliau.

James yang juga Adun Sugut berkata, kanak-kanak istimewa yang berkeperluan khas merangkumi mereka yang berkurang upaya samada dari segi penglihatan, pendengaran, pertuturan, pembelajaran, tingkah laku, terencat akal atau kecacatan fizikal.

“Kebanyakan daripada kanak-kanak tersebut didapati menghidap penyakit autisme, ADHD, disleksia, dan juga sindrom down.

“Sesetengah daripada kanak-kanak istimewa ini mempunyai gangguan emosi dan tingkah laku yang lebih sukar untuk dikawal, serta mungkin sukar diterima dan difahami oleh masyarakat sekeliling.

“Menjadi ibu bapa yang terpilih untuk membesarkan dan mendidik kanak-kanak berkeperluan khas semestinya bukanlah mudah. Ia tugasan yang penuh dengan suka dan duka, pelbagai cabaran dan rintangan,” kata beliau.

Justeru, James berharap agar program tersebut dapat membantu ibubapa dan penjaga mempelajari panduan yang dapat menangani masalah gangguan emosi dan tingkahlaku kanak-kanak berkeperluan khas.

Sementara itu, kata beliau, keprihatinan bagi hal ehwal kanak-kanak berkeperluan khas merupakan salah satu isu utama yang dititikberatkan oleh Kementeriannya dan juga Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Data Pendidikan Khas 2020 menunjukkan peningkatan bilangan murid berkeperluan khas mengikut program dari 2016 hingga 2020.

“Selain dari segi pendidikan, perkhidmatan lain yang ditawarkan merangkumi pencegahan, pengesanan awal ketidakupayaan, rawatan serta rehabilitasi.

“Kerajaan juga telah memperluaskan perkhidmatan di klinik kesihatan dan memperkukuhkan jaringan kerjasama dengan agensi swasta and NGO dari segi pendidikan, kesihatan, pemulihan dan perlindungan,” jelas beliau.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN