Abidin (kanan) menunjukkan isyarat bagus terhadap jambatan yang telah siap sepenuhnya itu
RANAU: Ratusan penduduk kampung di sekitar Kg. Mangkadait dan Kg. Lungkidau menark nafas lega apabila jambatan gantung sepanjang 200 meter akhirnya siap dan dapat digunakan sepenuhnya pada hari Isnin.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap ADUN Paginatan, Datuk Abidin Madingkir yang hadir merasmikan pembukaan jambatan gantung tersebut berkata, perkembangan tersebut merupakan hadiah di awal tahun buat penduduk di sini.
“Tujuan majlis kita pada hari ini, di samping Majlis Pemimpin Bersama Rakyat, adalah juga merasmikan jambatan gantung yang merentasi Sungai Labuk yang kini siap sepenuhnya dan boleh digunakan oleh penduduk kampung.
“Kita berterima kasih kepada Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terutama kepada YAB Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Hj Noor kerana senantiasa mendengar keluhan rakyat.
“Justeru, beliau akhirnya meluluskan pembinaan jambatan gantung yang panjangnya melebihi 200 meter, antara yang terpanjang di DUN Paginatan,” kata beliau.
Menurut Abidin, jambatan gantung Kg. Mangkadait dan Kg. Lungkidau adalah dua jambatan yang terpanjang di DUN Paginatan dan kedua-duanya memberi manfaat yang besar kepada penduduk kedua-dua kampung.
Sementara itu, menyentuh tentang isu politik semasa, katanya PRN17 akan diadakan tidak lama lagi dan diharap penduduk Kg. Mangkadait akan memberi sokongan padu kepada kerajaan GRS supaya agenda pembangunan yang sudah dirancang oleh kerajaan akan dapat dilaksankan dengan lancar.
“Pencapaian Kerajaan GRS adalah yang terbaik dalam sejarah dari segi kutipan hasil, jumlah pelabur asing yang masuk, kadar KDNK yang tinggi disamping bantuan-bantuan yang telah dan akan dilaksanakan oleh kerajaan.
“Satu contoh adalah pemberian bantuan RM300 setiap bulan sehingga akhir tahun ini melalui Program Sentuhan Kasih Rakyat 2025 kepada golongan keluarga miskin,” katanya.
Abidin memuji kesatuan yang ditunjukkan oleh penduduk Kg Mangkadait, yang diketuai oleh Pengerusi JKKK, Yasilis Sulitan dan Ketua Kampung Marain Kundat, dan berharap agar perpaduan kampung dapat diterjemahkan dalam sokongan padu kepada calon GRS pada PRN17 akan datang.
Dalam pada itu, Yasilis berkata, program yang diadakan itu merupakan satu sejarah bagi penduduk di sini di mana mereka dapat merasai suasana Perasmian Projek jambatan gantung yang kedua terpanjang di Ranau yang telah siap sepenuhnya dan dapat digunakan oleh orang kampung.
“Terima kasih kepada YB Datuk Abidin Madingkir kerana merealisasikan impian Kg. Mangkadait untuk mendapat jambatan gantung tersebut.
“Penduduk Kg. Mangkadait akan teruskan sokongan tidak berbelah bagi kepada YB Datuk Abidin Madingkir kerana sentiasa melihat keperluan kampung dan merasai denyut nadi rakyat,” katanya.
Beliau mengemukan beberapa lagi keperluan kampung seperti bantuan bekalan tiang letrik untuk mencapai beberapa rumah yang belum mendapat bekalan letrik, memohon sokongan YB supaya LIGS masuk ke kawasan ini untuk projek tanaman getah berkelompok, memohon sumbangan alat-alat sukan untuk belia Kg Mangkadait, dan memohon sumbangan kerusi untuk Gereja RC Kg Mangkadait.
Dalam masa yang sama, Marain juga berterima kasih atas usaha YB Datuk kerana akhirnya Kg. Mangkadait mempunyai kemudahan jambatan gantung menghubungi tanah pertanian di seberang Sungai Labuk.
“Kami juga memohon sokongan YB Datuk dalam usaha kampung membantah atau membatalkan pengeluaran geran yang bertindih dengan tanah adat Kg. Mangkadait,” katanya.
Dalam majlis tersebut Abidin telah meluluskan keperluan alat-alat sukan belia Kg. Mangkadait dan juga meluluskan bekalan kerusi kepada Gereja RC Kg. Mangkadait.
Mengenai isu tanah adat yang bertindih dengan geran perseorangan luar daripada Kg. Mangkadait, katanya, ianya akan dibincang dengan Pegawai PPHT Ranau untuk tindakan penyelasaian.
Pada sebelah paginya, YB Datuk Abidin dan rombongan sempat beribadah bersama jemaat Gereja GPI Kg. Rumantai.
Turut hadir Pegawai Khas Datuk Abidin Madingkir Juis Konsuling, CDO Jipili Sigal, KAN Dualis Porodtong, Pemaju Mukim Nalapak Hillary Salmoen, para pemimpin kampung sekitar dan lain-lain.



