27.7 C
Kota Kinabalu
Selasa, Mei 20, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Jahid Meriahkan Sambutan Aidilfitri Keluarga di Molisau, Simbol Toleransi Kaum dan Agama

UNTUK ALBUM….Jahid dan Malianah mengabadikan gambar kenangan bersama penduduk kampung, dan ahli keluarga yang hadir.

TAMPARULI: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Jahid Jahim, bersama isteri, Datuk Malianah Ugau, menghadiri Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran sebuah keluarga di Dewan Komuniti Kampung Molisau, Tenghilan, baru-baru ini.

Majlis yang pertama kali diadakan oleh keluarga Julian Sibeh ini mendapat sambutan dalam kalangan penduduk setempat.

Menariknya, sambutan Aidilfitri kali ini dianjurkan secara bersama oleh tiga anak Julian yang telah memeluk agama Islam dan kini masing-masing telah berkeluarga.

Penganjuran majlis ini turut menjemput seluruh penduduk kampung tanpa mengira latar belakang agama, menzahirkan semangat perpaduan serta nilai toleransi tinggi dalam kalangan masyarakat.

Jahid menyambut baik inisiatif itu dan menyifatkannya sebagai contoh terbaik keharmonian hidup berbilang kaum dan agama yang wajar dicontohi.

JAHID Bersama rombongan menikmati juadah yang disediakan.

“Beginilah semangat yang kita mahu di Sabah, khususnya di Tamparuli, di mana kita mahu tunjukkan sikap saling hormat-menghormati dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama,” katanya semasa berucap ringkas dalam majlis tersebut.

Beliau turut menyeru agar program seumpama ini diteruskan pada masa hadapan, sebagai medium mengeratkan hubungan silaturahim serta memperkukuh semangat kekitaan di peringkat akar umbi.

Untuk rekod, keluarga Julian Sibeh dan Mitah Diki merupakan sebahagian keluarga besar Diki dan Sunsulit, di Kampung Molisau Tenghilan.

Majlis turut diserikan dengan penganjuran Pertandingan Dart Sempena Hari Raya Aidilfitri, di samping hidangan pelbagai juadah, dan sesi ramah mesra antara penduduk kampung serta para tetamu yang hadir. OLEH: ATENG.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN