JAHID Menyampaikan sumbangan peribadi dan barangan dapur kepada Sani sambil disaksikan para pemimpin masyarakat yang hadir.
TAMPARULI: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tamparuli, Datuk Jahid Jahim telah melawat rumah mangsa kebakaran di Kampung Tambulaung, sini, hari ini.
Mangsa, Sani Lingkubang, 76 tahun, hidup sehelai sepinggang setelah rumahnya hangus terbakar petang kelmarin (Khamis).
Beliau yang diiringi Penolong Pegawai Daerah (ADO) Tamparuli, Herman Tunggiging, meluangkan masa hampir satu jam bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai kejadian dan membincangkan keperluan nasib keluarga mangsa.
Selain menerima bantuan makanan dan keperluan dapur, Sani turut menerima sedikit sumbangan wang tunai daripada Jahid bagi meringankan bebannya.
2KEADAAN Rumah Sani yang terbakar Khamis lalu
Dalam pada itu, Jahid juga menyeru jabatan kerajaan yang berkaitan agar dapat membantu mangsa yang ditimpa musibah dengan seberapa segera.
“Semoga Sani dan keluarga diberikan kekuatan menghadapi ujian dan dipermudahkan segala urusan,” kata Jahid.
Sani kini terpaksa menumpang tinggal bersama saudara terdekat buat sementara waktu.
Rombongan lawatan amal tersebut turut dihadiri Setiausaha Politik Kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar, Jilias Lintar, dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli, Madin Anak.
Hadir sama Setiausaha Perhubungan Awam KPLBS, Romeo Sindeh, Penyelia Kemajuan Masyarakat Tamparuli, Boe Sindolun, Pemaju Mukim, James Sinail, dan Ketua Anak Negeri (KAN) Rony Sundang.