MAJLIS PERASMIAN….DSP Samiun Lomudin memotong reben sebagai simbolik perasmian Hari Sukan Negara peringkat IPD Ranau.
RANAU: Pegawai, anggota, kakitangan awam serta seluruh keluarga Polis Di Raja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Polis Daerah Ranau diingatkan agar menjadikan aktiviti sukan sebagai salah satu pengisian utama dalam rutin kehidupan harian bagi mengekalkan kesihatan tubuh badan dan minda yang sentiasa cergas.
Menyatakan perkara itu, Ketua Polis Daerah Ranau, Simiun Lomudin berkata, aktiviti sukan bukan sahaja baik untuk kesihatan tubuh badan seseorang bahkan menjadikan minda sentiasa cergas untuk berfikir selain dapat menghindarkan diri daripada aktiviti tidak sihat dan mendatangkan penyakit.
“Dalam kehidupan harian, kita kena memilih salah satu jenis sukan untuk mempastikan kita sentiasa sihat. Walau anda hanya berjalan kaki sejauh lebih kurang satu kilometer setiap hari, ia juga salah satu aktiviti senaman yang membolehkan anda sentiasa sihat”. Jelasnya.
Dalam masa sama, beliau turut memuji beberapa pegawai dan anggotanya yang sebelum ini menjadi wakil sebagai atlet sukan dalam temasya sukan peringkat PDRM dan berjaya memenangi beberapa pertandingan dalam temasya sukan anjuran jabatan itu di peringkat kontinjen mahupun kebangsaan.

Antara acara menarik dalam sukaneka membabitkan pegawai, anggota, kakitangan serta ahli keluarga PDRM Ranau.
Katanya, pencapaian seumpama itu perlu terus dipertahankan pada masa akan datang dan pegawai serta anggota yang terlibat perlu mengekalkan stamina agar mereka masih mampu mewakili Polis Daerah Ranau dalam mana-mana anjuran sukan pada masa akan datang.
“Jaga stamina anda selaku atlet sukan yang boleh mengharumkan nama PDRM Ranau. Jangan sesekali abaikan kesihatan dan teruskan latihan dari masa ke semasa”. Tegasnya ketika berucap merasmikan Hari Sukan Negara Tahun 2022 Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah Ranau di mini padang kawasan IPD pada Sabtu.
Menyentuh mengenai program Hari Sukan Negara Tahun 2022, Simiun berkata program itu adalah salah satu inisiatif Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) yang diadakan setiap tahun bagi melahirkan generasi sihat dan cergas melalui aktiviti sukan yang dijalankan. Program ini turut dijayakan oleh semua agensi kerajaan termasuk PDRM di seluruh kontinjen dan daerah.
Jelasnya, selaku Ketua Polis Daerah Ranau, beliau amat gembira dengan sambutan menggalakkan bukan sahaja dikalangan kakitangannya malah ahli keluarga mereka turut hadir memeriahkan majlis.
“Kekalkan semangat silaturahim ini dalam apa juga acara atau program pada masa akan datang. Saya begitu terharu dengan sambutan dan kerjasama anda semua”. Katanya.
Dalam majlis itu, pelbagai acara menarik telah diadakan antaranya sukaneka membabitkan kanak-kanak dan dewasa yang melibatkan seluruh warga IPD Ranau serta cabutan tiket bertuah.
Turut hadir dalam majlis tersebut termasuklah Asp Jalix Amindang, Ketua Bahagian Pengurusan Daerah, Asp Lesius Drunnsung, Pemangku Ketua Cawangan Khas Daerah dan Asp Nurul Hafiz bin Derus, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah serta barisan pegawai kanan yang lain.



