SIMBOLIK….Fadzilah (dua daei kanan) bersama Jurijh (dua kiri) dan Mohd Dzulfaizal membuka kulit buah durian tanda simbolik perasmian Program Penyerahan Insentif Pembangunan dan Hari Bertemu Pelanggan Jabatan Pertanian Labuan.
LABUAN : Jabatan Pertanian Wilayah Persekutuan Labuan telah berjaya melahirkan lebih 40 petani dan pengusaha industri agromakanan sejak Program Industri Pembangunan Pertanian diwujudkan.
Pengarah Jabatan Pertanian Wilayah Persekutuan Labuan, Jurijh Abdulah Fauzi berkata jumlah petani baharu yang menyertai Program Industri Pembangunan Pertanian terus meningkat setiap tahun dan ini sekaligus membantu mengurangkan kebargantungan bekalan makanan dari luar Labuan.
“Boleh dikatakan setiap tahun berlaku pertambahan bilangan petani yang berjaya mengusahakan perusahan pertanian di bawah Program Industri Pembangunan Pertanian sekaligus telah membantu mengurangkan kebergantungan bekalan makanan dari luar” katanya.

PENERIMA….insentif pembangunan bergambar bersama Fadzilah (tengah) Jurijh (lima dari kiri) dan Mohd Dzulfaizal (lima dari kanan).
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Program Penyerahan Insentif Projek Pembangunan dan Hari Bertemu Pelanggan Jabatan Pertanian Labuan 2020 di Dewan D197, Jabatan Pertanian, Kampung Kilan, pagi kelmarin.
Program telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Fadzilah Mahmud mewakili Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr, Fary Akmal Osman.
Hadir sama Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Labuan, Mohd Dzulfaizal Ab. Manan.
Terdahulu ketika berucap Jurijh berkata, penganjuran Majlis Penyerahan Insentif Pembangunan dan Hari Bertemu Pelanggan bertujuan untuk mewar-warkan usaha kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dalam membantu rakyat Labuan yang terlibat dalam industri agromakanan.
“Program ini juga merupakan inisiatif jabatan dalam mendekati pelanggan bagi mendapatkan maklumbalas aduan mahupun cadangan bagi memperkukuh dan memperkasa keberkesanan penyampaian maklumat khidmat jabatan Pertanian” katanya.
Pada majlis itu sebanyak 4 kategori di bawah Program Pertanian Bandar menerima insentif membabitkan kategori Institusi (Perikanan), kategori Komuniti (Kampung Layangan) kategori individu (Perumahan LDA) dan kategori Sekolah (SK Bukit Kalam).
Turut menerima insentif yang sama ialah Harris Hashim bagi kategori Tanaman Semula Buah-Buahan Terpilih, Johny Jamarin bagi kategori Bantuan Peningkatan Hasil Sayuran, Yeo Boon Heng kategori Pembangunan Kluster Tanaman Kontan, Nabilah Abdul Rashid kategori Pembangunan Kluster Betik, Mohd Hanifah Dawood kategori Pembangunan Tanaman Organik dan Nur Farah Nadia Haji Abas bagi kategori Program Agropreneur Muda.
Semua insentif berkenaan disampaikan oleh Fadzilah Mahmud.