SIMBOLIK…Rithuan bersama Faizal ketika melancarkan kerja-kerja melabuhkan tukun tiruan kuboit di perairan Pulau Kuraman, pada Sabtu.
LABUAN: Jabatan Perikanan Labuan melabuhkan 5 unit tukun tiruan konkrit jenis Kuboid (konservasi) bernilai RM100,000 di perairan Pulau Kuraman berhampiran kawasan Taman Laut Labuan, pada Sabtu.
Pengarah Jabatan Perikanan Wilayah Persekutuan Labuan, Faizal Ibrahim Suhaili berkata, projek yang dilaksanakan setiap tahun bertujuan untuk memulihara dan meningkatkan serta menjamin kelestarian sumber perikanan laut berada pada tahap yang optimum.
Selain itu katanya, tukun tiruan jenis konsevarsi yang ditempatkan di kawasan Taman Laut ini bertujuan untuk menjaga khazanah laut dan tempat pembiakan kepada pelbagai spesis ikan sekaligus memberi manfaat jangka panjang kepada nelayan tempatan.
“Sejak RMK 11, sebanyak 45 unit tukun tiruan jenis konservasi telahpun dilabuhkan di sekitar perairan Taman Laut, manakala diluar kawasan Taman Laut sebanyak 100 unit tukun tiruan jenis reakrasi telahpun dilabuhkan iaitu melibatkan 10 kawasan di sekitar perairan Labuan” katanya.
Majlis pelancaran kerja kerja melabuhkan tukun tiruan kuboit di Pulau Kuraman disempurnakan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Haji Rithuan Mohd Ismail.
Faizal mberkata, sepanjang tempoh RMK 12 pihaknya menjangkakan sebanyak lima lagi lokasi tukun tiruan jenis rekreasi akan dilaksanakan sebagai usaha kerajaan meningkatkan sumber perikanan kepada nelayan tempatan.
“Hasil daripada pemerhatian dan maklum balas daripada nelayan kita dapati tukun tukun yang kita labuhkan ni bukan sahaja meningkatkan pendaratan ikan tetapi juga telah memberi manfaat kepada nelayan tempatan khususnya nelayan tradisional meningkatkan sumber pendapatan” katanya.
Sementara itu, Rithuan berkata, program melabuhkan tukun tiruan jenis kobait di kawasan Taman Laut Labuan merupakan usaha terbaik dalam memastikan dan menjamin kelestarian hidupan marin di kawasan Taman Laut Labuan sekaligus menjadi daya tarikan pelancong luar untuk berkunjung ke Taman Laut Labuan.
Dalam waktu yang sama beliau turut mengajak pihak badan bukan kerajaan (NGO) mahupun syarikat swasta untuk membantu kerajaan dalam menjaga dan mengekalkan ekosistem hidupan marin di Taman Laut Labuan.



