27 C
Kota Kinabalu
Khamis, Disember 5, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Jabatan Penjara Malaysia Teroka Pelaksanaan Hukuman Dalam Komuniti

Tun Juhar (dua kanan) di samping isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni menerima cenderakenangan daripada Nordin.

KOTA KINABALU :  Jabatan Penjara Malaysia berharap dapat meneroka pelaksanaan hukuman dalam komuniti atau hukuman tertangguh bagi kesalahan bukan serius (non-serious offence).


Ketua Pengarah Penjara Malaysia Komisioner Jeneral Penjara Malaysia Datuk Nordin Muhamad berkata pelaksanaan hukuman haruslah berbentuk just and fair, maknanya setimpal dengan kesalahan yang dilakukan dan kaedahnya boleh mengurangkan kemudaratan kepada pihak lain yang berkepentingan.


“Hukuman tertangguh ini apabila seseorang itu disabitkan oleh mahkamah dan disebabkan mereka tidak terlibat dengan kesalahan yang  serius, jadi dia boleh menjalani hukuman dengan tidak dihantar ke penjara.


“Mereka masih lagi boleh berada dalam masyarakat bersama keluarga, bekerja seperti biasa, tetapi dengan pengawasan pegawai penjara.


“Sekiranya dalam tempoh hukuman tertangguh yang  berlangsung itu mereka terlibat dengan jenayah, mereka akan ditangkap dan dihantar ke penjara untuk meneruskan baki hukuman yang tertangguh di samping didakwa untuk kesalahan yang baharu,” katanya selepas kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, pada Rabu.


Beliau turut memaklumkan Jabatan Penjara Malaysia  sedang berusaha mewujudkan akta baharu iaitu akta tahanan rumah bagi menyediakan hukuman pilihan kepada pesalah-pesalah yang terlibat dalam kesalahan bukan serius atau non-serious offence.

“Sebagai contoh, kalau pesalah yang terlibat itu adalah penafkah utama keluarga, dengan mereka berada dalam penjara siapa yang ambil tanggungjawab, jadi masalah dalam struktur keluarga itu sendiri.


“Apa yg penting kita bukan sahaja menghukum, membalas perlakuan buruk, tetapi hukuman itu kita jadikan alat mencegah orang lain daripada melakukan kesalahan yang sama, dapat memulihkan mereka dan tidak terlibat lagi dengan jenayah.


“Selain  itu, dapat melindungi masyarakat menjadi mangsa penjenayah berulang dan berupaya menyemai nilai-nilai baik hidup sebagai warganegara untuk memastikan kerukunan negara yang berkekalan,” jelasnya ketika ditemui di Istana Seri Kinabalu.


Di samping itu, Nordin memaklumkan kunjungan tersebut bertujuan memberi maklumat baharu kedudukan semasa, isu dan inisiatif-inisiatif yang sedang diambil Jabatan Penjara Malaysia serta menjemput Tun Juhar untuk merasmikan Penjara Lahad Datu pada 10 September ini.


Turut hadir, Pengarah Penjara Negeri Sabah, Timbalan Komisioner Penjara, Nora Musa dan Pengarah Penjara Lahad Datu, PKK Nazarman Haidzir.- Penerangan

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN