PELANCARAN… Mai Tah Baurung-Urung 2021, 15 Februari 2021.
LABUAN: Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan telah melancarkan Program Maitah Baurung-Urung 2021 secara dalam talian yang diadakan baru-baru ini.
Pelancaran dibuat melalui saluran Youtube rasmi Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan yang telah dihadiri oleh warga pendidikan di Labuan.
Program ini telah berjaya menghimpunkan warga pendidikan di Labuan untuk mendapatkan komitmen dan kesungguhan bagi menjayakan sasaran kerja tahunan serta KPI yang perlu dicapai bagi tahun 2021.
Selain itu, program ini dapat membuat refleksi pencapaian warga pendidikan Jabatan Pendidikan W.P Labuan sepanjang tahun 2020 dan memperbaharui ikrar serta komitmen warga pendidikan untuk menjayakan inisiatif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) Gelombang 3 (2021-2025) dan perancangan strategik Jabatan.

JAMIL (kanan) ketika berucap merasmikan majlis itu, manakala (kiri) Khaziyati Osman, ketika menyampaikan Amanat .
Pengarah Jabatan Pendidikan W.P Labuan, Khaziyati Osman, dalam ucapan amanahnya berbicara mengenai Hala tuju Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan iaitu The Next Level yang bertemakan ‘Pendidikan Komprehensif Minda Kelas Dunia’.
Beliau menyeru agar warga pendidikan dapat mengadaptasikan Tagline dan Teras Profesional Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.
Tagline Jabatan Pendidikan ialah Labuan World, Guru Sayang Muridnya, Kemenjadian Murid Bermula di Wilayah Persekutuan Labuan, Semua Murid Sangat Bernilai, Semua Sekolah Di Labuan Adalah Sekolah Pilihan.
Manakala teras profesional warga pendidikan W.P Labuan ialah L.A.B.U.A.N yang membawa maksud Lead, Accountable, Bold, Unanimous, Approachable, Now.
Jelasnya, dalam mendepani cabaran COVID-19, guru seharusnya perlu mengubah kaedah pembelajaran dan pemudahcaraan menerusi platform digital berpandukan manual Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Keperluan meningkatkan ilmu dan mempelbagaikan kemahiran bukan merupakan kelebihan tetapi keperluan yang perlu ada pada setiap pendidik supaya kita menjadi insan yang lebih ampuh dalam menghadapi pelbagai cabaran,”tambah Khaziyati lagi.
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, KPM, Dato’ Mohd Jamil Mohamed yang mewakili Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, KPM, Datuk Dr. Habibah Abdul Rahim.
Dalam ucapannya beliau berbangga dengan tema program Mai Tah Baurung-urung Dalam Talian “Pendidikan Komprehensif Minda Kelas Dunia”.
“Ini jelas menunjukkan keazaman dan kesungguhan yang tinggi dalam kalangan warga pendidik di WP Labuan untuk mempersiapkan diri dan anak didik, ilmu serta kemahiran yang menyeluruh bagi menghadapi persaingan global dengan persiapan minda yang berilmu.
“Pendidikan yang berkualiti memerlukan para guru melakukan paradigma sikap minda kelas dunia dengan meningkatkan tahap kompetensi untuk membina kompetensi murid-muridnya mencapai tahap penguasaan tertinggi” katanya.
Tambahnya lagi, penguasaan dalam bidang ICT dan pelbagai aplikasi dalam talian sudah tentu menjadi semakin penting dalam dunia pendidikan kini supaya ia seiring dengan kehidupan anak didik kita masa ini dan keperluan pendidikan di zaman ini.
“Harapan saya semoga tahun 2021 memberi kekuatan fizikal dan minda yang cukup kuat dalam usaha kita meningkatkan prestasi pendidikan walaupun terkesan dengan pandemik ini. Saya percaya komitmen dan usaha yang bersungguh-sungguh daripada cikgu-cikgu sekalian serta semua warga pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan akan melahirkan murid-murid yang berjaya melepasi segala rintangan dan mengelakkan defisit pembelajaran.”katanya.