Ghani (tengah) bersama rombongan semasa meninjau ladang dan perumahan peserta.
KEMABONG: Isu nama penduduk yang tidak disenaraikan sebagai peserta ladang Kabintaluan dibawah program Geran Komunal yang dibangunkan oleh Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) boleh dirujuk di Pejabat Daerah Kecil Kemabong.
Pengerusi LKTNS Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin berkata, LKTNS hanya berperanan sebagai pemaju yang dilantik oleh Kerajaan Negeri untuk membangunkan kawasan berkenaan.
Katanya, tapisan dan pemilihan peserta adalah dibawah bidang kuasa Pejabat Daerah Kecil Kemabong dan pemimpin-pemimpin masyarakat di kawasan itu.
“Begitu juga bagi penama dari luar daerah yang disenaraikan sebagai peserta perlu dirujuk di Pejabat Daerah Kecil Kemabong untuk tindakan selanjutnya” katanya.
Ghani yang juga ADUN Nabawan berkata demikian bagi mengulas dakwaan pemimpin dan penduduk di kawasan itu bahawa terdapat penama dari luar daerah yang disenaraikan sebagai peserta dan sebaliknya terdapat penduduk asal di kawasan itu tidak disenaraikan.
Isu tersebut disampaikan oleh pihak pengurusan Ladang Kabintaluan semasa lawatan Ghani bersama rombongan pengurusan Ibu Pejabat dan Wilayah Barat LKTNS di ladang itu baru-baru ini.
Terdahulu Ghani dan rombongan meninjau perkembangan pembangunan ladang getah dan perumahan pekerja di ladang itu.
Dalam perkembangan lain beliau berpuas hati dengan pembangunan ladang itu kerana pelaksanaan masih berterusan termasuk projek naiktaraf jalan yang dan pembinaan jambatan di jalan utama masuk kawasan ladang.
Ladang yang dibangun sejak tahun 2019 itu kini mempunyai 600 peserta dan telah mula mengeluarkan hasil.