James ketika melawat sendiri Loji Air di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak, Likas, hari ini
KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), Datuk James Ratib menegaskan bahawa isu gangguan bekalan air di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas telahpun ditangani sebelum hal tersebut ditularkan di media sosial.
“Sebagai Menteri KPMKR merangkap EXCO Kesihatan Negeri Sabah, saya terpanggil untuk membuat penjelasan mengenai fakta yang ditularkan oleh pihak tertentu yang saya sifatkan hanya meraih populariti politik tanpa membuat sebarang soal selidik.
“Surat berhubung Isu gangguan bekalan air di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas bertarikh 23 Jun 2023 telah tular di media sosial Facebook yang menggunakan akaun Buletin Warisan,” katanya.
Menurut James, penularan surat tersebut membangkitkan pelbagai persepsi negatif ramai pihak kepada kerajaan GRS dan melemparkan tuduhan-tuduhan tidak berasas.
“Ia sengaja mahu menampakkan kepimpinan Kerajaan GRS di bawah pentadbiran Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor seolah-olah tidak mengambil sebarang tindakan penyelesaian terhadap isu yang dialami.
“Tindakan tersebut adalah tidak profesional dan sepatutnya mereka terus berjumpa dengan kementerian saya mahupun kementerian berkenaan untuk mendapatkan penjelasan lanjut,” katanya.
Dalam masa sama, James menegaskan bahawa kepimpinan Kerajaan GRS tidak pernah duduk diam dan membiarkan isu gangguan bekalan air di Sabah ini terus bertambah serius.
“Isu gangguan bekalan air di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas telahpun saya ambil tindakan sejurus selepas saya menerima surat daripada Pengarah Hospital berkenaan.
“Dalam masa sama, saya menyedari isu gangguan bekalan air bukan sahaja berlaku di hospital berkenaan malah di hospital-hospital lain di negeri Sabah.
“Saya tidak akan duduk diam jika mana-mana premis kesihatan di negeri ini mengalami apa juga masalah khasnya yang melibatkan kepentingan utama separti air dan elektrik,” katanya.
James yang juga ADUN Sugut berkata demikian semasa membuat lawatan khas ke Loji Air Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas pada petang hari Selasa.
Sebagai salah seorang Ahli Jemaah Menteri Kabinet Negeri Sabah, tambahnya, beliau sendiri melihat kesungguhan Hajiji untuk mencari jalan penyelesaian yang efektif terhadap isu gangguan bekalan air di Sabah ketika ini.
Justeru James mencadangkan satu Jawatankuasa Khas ditubuhkan untuk memudahkan mengenalpasti isu atau masalah yang berlaku terutama masalah air, elektrik dan masalah-masalah lain yang timbul dari masa-kesemasa, agar dapat diambil tindakan segera dan lebih efektif.
“Dengan itu, saya sekali lagi mengingatkan kepada mana-mana pihak yang suka menunding jari dan menghangatkan isu di media sosial, agar menghentikan perbuatan demikian.
“Malahan, saya mengalu-alukan sebarang idea serta usaha kearah membantu memacu pembangunan rakyat dan negeri Sabah,” jelas beliau.