32 C
Kota Kinabalu
Ahad, April 21, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

IPGM Kent, UBD sepakat perkasa bahasa ibunda Borneo

Pertukaran cenderamata Kent -UBD; Dari Kiri: Hj. Harun, Dr. Hamidah, Siti Ifwah dan Dr. Linah


TUARAN: Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Kent, Tuaran buat julung kalinnya menerima lawatan sambil belajar daripada Universiti Brunei Darussalam (UBD) di sini baru-baru ini.


Rombongan UBD terdiri daripada enam orang pensyarah dan 18 orang siswa- siswi dari Program Pengajian Melayu, Fakulti Sastera Sains dan Sosial.
Lawatan sambil belajar tersebut bertujuan untuk mengetahui dan mempelajari bahasa ibunda yang dituturkan oleh pelbagai etnik di negeri Sabah khususnya rumpun Kadazan Dusun.


Selain untuk mempelajari pedagogi pengajaran Bahasa Kadazandusun (BKD) yang ditawarkan sebagai major di IPGM Kampus Kent, hasrat untuk mengeratkan lagi jalinan persahabatan di kalangan pensyarah dan pelajar di kedua-dua institusi pengajian tinggi di Borneo juga merupakan tujuan utama lawatan ini.


Melalui perkongsian tersebut, kedua-dua institusi juga berharap agar dapat memberi kesedaran tentang kepentingan memelihara dan melestarikan bahasa ibunda supaya terus berkembang dan tidak mengalami kepupusan.


Perkongsian kedua-dua institusi telah memberikan banyak manfaat kepada para pensyarah dan pelajar Bahasa Kadazandusun (BKD) dalam aspek pelestarian bahasa minoriti oleh UBD di negara Brunei Darussalam iaitu bahasa Dusun Brunei (BDB) yang kian pupus.


“Saya berharap lawatan seperti ini akan dapat diteruskan untuk memastikan bahasa etnik/ibunda iaitu BKD di Sabah dan BDB di negara Brunei terus bertahan dan kukuh serta diketahui bukan sahaja di Sabah dan Brunei tetapi sejagat raya”, kata Dr. Hamidah Binti Samsudin, Pengarah IPGMK Kent dalam ucapan alu-aluan beliau.


Puan Siti Ifwah Fauzani Hj Chuchu, ketua rombongan UBD turut merakamkan rasa syukur dan berharap agar kunjungan mereka ini akan dapat membantu memberikan idea bagaimana untuk melestarikan BKD dan BDB.


Lawatan rombongan UBD turut diserikan dengan tarian sambut tamu yang diiringi dengan paluan gong oleh para pelajar BKD Ambilan Jun 2021/2025.

YBrs. Dr Hamidah Samsudin, Pengarah IPGM Kampus Kent (tengah), Puan Siti Ifwah, Dr. Linah dan Dr. Yabit (kanan) dan Hj. Harun Sarail (baju biru) bersama-sama pensyarah dan pelajar IPGM Kampus Kent dan Universiti Brunei Darussalam (UBD)


Dr. Linah Bagu @ Siti Nurlina Abdullah, Ketua Jabatan Bahasa Kadazandusun turut mengongsikan pembentangan berkaitan sejarah Bahasa Kadazandusun, peranan Jabatan BKD sebagai peneraju pegajaran BKD, bilangan pensyarah dan pelajar BKD sejak tahun 2012, program dan kursus yang ditawarkan, pedagosi dan inovasi pengajaran dan pembelajaran BKD, kejayaan dan pencapaian pensyarah dan pelajar BKD di peringkat kampus, negeri, kebangsaan dan antarabangsa serta cabaran yang dihadapi dalam pelaksanaan BKD di IPGM Kampus Kent.


Kejayaan BKD turut dipengaruhi oleh peranan pemimpin kampus dan pemimpin tempatan yang banyak menyokong memperkasa dan memartabatkan BKD di peringkat komuniti.

Rombongan UBD juga telah melawat Galeri BKD, Galeri Transformasi Kent, Galeri Seni dan Hab STEM yang banyak memberi maklumat tentang kejayaan dan kegemilangan IPGM Kampus Kent sebagai kampus cemerlang Zon Sabah.


Turut serta dalam lawatan tersebut ialah Tuan Haji Harun Haji Sarail, Timbalan Pengarah IPGM Kampus Kent, Dr. Khoo Chwee Hoon, Penyelaras Hubungan Antarabangsa, Puan Roryna Komon, Ketua Jabatan Pengajian Sains Sosial dan pensyarah-pensyarah BKD iaitu Dr, Rosie Johnny, Puan Rosmahwati Ebbie, Encik Victor Baga dan Dr. Wilfred Dousip.



ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN