TUARAN: Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Kent telah melaksanakan Program Pertandingan Pidato dan Bahasa Berirama (Piboi’an Roisol om Boros Kiloyuk) sebagai satu solidariti terhadap Bahasa Kadazandusun di sini baru-baru ini.
Pertandingan Pidato dan Bahasa Berirama yang anjurkan oleh Jabatan Bahasa Kadazandusun IPGM Kent itu diadakan sempena Sambutan Dekad Bahasa Ibunda Antarabangsa yang dirayakan pada setiap 21 Februari di seluruh dunia,
“IPGM Kampus Kent sebagai peneraju Tier 1 Bahasa Etnik (Bahasa Kadazandusun (BKD) telah menjayakan program ini di peringkat institusi dengan melibatkan semua pelajar PISMP dan PPISMP di institusi tersebut yang terdiri daripada kumpulan Bahasa Kadazandusun, Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL), Pengajian Melayu dan Matematik.
“Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) telah mengistytiharkan tempoh antara tahun 2022 dan 2032 sebagai Dekad Bahasa-Bahasa Asal Antarabangsa (IDIL 2022-20232) dan bekerjasama dengan Pertubuhan Penidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) untuk melaksanakan IDIL ini.
“Pada tahun 2008, UNESCO seterusnya mengiktiraf dan mengisytiharkan 21 Februari sebagai Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa secara rasmi semasa perhimpunan agung UN,” kata Timbalan Pengarah IPGM Kampus Kent Hj Harun Bin Hj Sarail dalam ucapan perasmian penutupan program itu.
Menurut beliau, Pertandingan Piboi’an Roisol om Boros Kiloyuk telah menggunakan sepenuhnya Bahasa Kadazandusun yang merangkumi sistem bahasa, sebutan, intonasi, nada dan lenggok penyampaian.
Program ini, kata Hj Harun, adalah bertujuan untuk memberi peluang kepada pelajar bukan opsyen BKD untuk menyertai pertandingan tersebut agar dapat menghayati karya seni bahasa masyarakat Kadazan Dusun (KD).
Ia sekaligus diharap mampu menanamkan minat mereka untuk mempelajari BKD yang merupakan bahasa etnik yang diajar di peringkat sekolah, institusi pendidikan tinggi serta dituturkan secara dominan di negeri Sabah.
“Saya sangat berbangga dengan Jabatan BKD kerana sentiasa melaksanakan program-program yang mengangkat IPGM Kampus Kent bukan sahaja di peringkat negeri dan kebangsaan malah juga di peringkat antarabangsa.
“Jabatan BKD juga merupakan identiti utama IPGM Kampus Kent sebagai Tier 1 yang sentiasa menganjurkan pelbagai program yang mantap sesuai dengan situasi masyarakat semasa Malaysia yang bertemakan ‘Malaysia Madani’ dan disertai oleh pelajar-pelajar pelbagai bangsa dan bahasa.
“Program sebegini merupakan satu wahana dan aspirasi dalam melahirkan pelajar yang cemerlang, ilmuwan, sinergi, kompetatif dan optimistik,” kata beliau.
Sementara itu, Ketua Jabatan Bahasa Kadazandusun Dr. Linah Bagu @ Siti Nurlina Abdullah menyatakan bahawa pada masa kini, pemikiran para pelajar yang menyertai aktiviti ini adalah ‘generasi elit’ yang berfikiran jauh berbeza daripada pelajar masa lalu.
“Pelajar hari ini boleh dikategori sebagai generasi elit kerana mereka lebih terdedah dengan pelbagai ilmu di hujung jari seperti inovasi digital dan kecerdasan buatan (AI).
“Pelajar kini bukan sahaja berkebolehan menyelesaikan masalah dan berdikari malah mempunyai kemahiran dan kecekapan mempelajari bahasa etnik atau bahasa ibunda dengan mudah, lebih berfokus dan akademikus melalui internet,” katanya.
Pertandingan yang bertemakan Boros Tina Malaysia Madani bukan sahaja dapat mengangkat bahasa etnik atau ibunda melalui pidato dan bicara berirama dalam BKD, juga dapat menyemai dan menanamkan minat generasi muda pelbagai bangsa untuk mendalami dan menghayati bahasa warisan nenek moyang.
Slogan dalam Bahasa Kadazandusun iaitu “Okon nopo ko yati, isai po” amatlah bersesuaian dengan semangat dan jati diri pelajar untuk memartabatkan bahasa etnik atau ibunda.
Turut menjayakan pertandingan tersebut ialah Pensyarah Penyelaras Victor Baga, Pengerusi Pertandingan Pidato dan Bahasa Berirama (Piboi’an Roisol om Boros Kiloyuk Jurina Jonimin, para Pensyarah BKD John Gitom, Dr. Wilfred Dousip dan Rosmahwati Ebbie, wakil dari Jabatan Pendidikan Negeri Sabah selaku Juri Pertandingan Cynthiana John, Breyllena Jed Imon dan Richel Simon.
Diharapkan aktiviti yang disertai oleh lebih 150 orang pelajar dan 6 orang pensyarah BKD IPGM Kampus Kent ini akan dapat menyuntik semangat untuk memelihara, melestari dan mengembangkan BKD sebagai bahasa etnik atau ibunda yang sangat bernilai dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia khususnya masyarakat Kadazan Dusun sendiri.