29 C
Kota Kinabalu
Khamis, Julai 18, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

INTITUSI KEPOLISIAN SATU WARISAN AGUNG

Nukilan:
▪︎Prof. Madya Ts Dr. Ramzah Dambul

SIAPA tahu, tradisi kepolisan moden dalam wilayah sepunya (yang dirujuk kolektif sebagai Malaysia pada era kontemporari ini) telah bermula lebih 2 abad dahulu?

Saya sendiri pun, serius tidak pernah tahu. Saya rasa sungguh jahil. Mujur, pada detik ulangtahun bersejarah hari ini — saya telah insaf, dan menggali sendiri pencerahan tentang warisan agung ini.

Sejak zaman kesultanan Melaka lagi, sudah wujud sistem kepolisan tradisional. Temenggung selaku “ketua polis negara” dan Hulubalang sebagai penguatkuasa di peringkat akar umbi.

Tapi institusi ini ditukar kepada Sistem Kapitan, apabila Portugis menawan Melaka pada 1511. Bila Belanda menumpaskan Portugis pula, pada 1641, Sistem Kapitan ini masih dikekalkan selama beberapa tahun sebelum dinaiktaraf menjadi Burgher Guard.

Namun demikian, tradisi kepolisan yang sebenar akhirnya bermula apabila Melaka difederasi ke dalam Empayar British di Malaya. Maka, pada HARI INI, 214 tahun dahulu (25 Mac 1807) — institusi polis moden ditubuh secara rasmi seiring dengan pemahsyuran Charter of Justice di Pulau Pinang.

Inilah yang telah diwariskan kepada Persekutuan Tanah Melayu (pasca kemerdekaan 1957), kemudian diperturun kepada Malaysia selepas pembentukannya pada tahun 1963. Status “diraja” yang berprestij itu telah dipateri pada 21 Julai 1958 oleh Yang DiPertuan Agong.

Dari legasi maha panjang Polis Diraja Malaysia, yang melangkau lebih 200 tahun, pelbagai peristiwa berdarah telah tercatat. Merentas era perang dengan Jepun, konflik pertembungan pengganas komunis, tahun-tahun konfrontasi Indonesia sampai kepada zaman pencerobohan Sulu.

Termasuk juga seribu macam ancaman lain, luar dan dalam, yang sentiasa berlaku sepanjang waktu. Ini sejarah dedikasi pasukan polis dalam membela kedaulatan dan keselamatan negara.

Kami kenang tiap titis keringat dan darah yang pernah membasahi bumi untuk kesejahteraan tanahair. Terima kasih buat seluruh warga polis se-Malaysia.

SUMBER: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10226067290930082&id=1271220569

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN