Gambar: Feddrin Tuliang (duduk kedua kiri) merakam gambar bersama staff UPPM Dun Karanaan
0leh: SYUKRI SARIDIH
RANAU: Kerjasama antara Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) di peringkat Bahagian dan Negeri amat penting bagi mentransformasi UPPM sebagai satu unit yang amat penting bagi membantu kelancaran pentadbiran kerajaan negeri selaras dengan slogan “Sabah Maju Jaya”.
Bercakap dalam satu perjumpaan bersama staff UPPM Dun Karanaan di sini, hari ini, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) UPPM Negeri Sabah, Feddrin Tuliang berkata, usaha membentuk UPPM menjadi satu badan penting dalam kerajaan perlu ditingkatkan dan ditambahbaik demi membantu melicinkan pentadbiran kerajaan Negeri Sabah dibawah pimpinan Ketua Menteri YB DSP Hajiji Haji Noor.
Beliau mengajak semua staff UPPM agar terus memberi khidmat terbaik dan kepimpinan yang mesra rakyat dalam memastikan keberkesanan unit itu. Dalam masa yang sama, usaha untuk memperjuangkan martabat UPPM agar terus dikenali umum perlu dipergiatkan.
“Fungsi utama UPPM adalah bagi membantu wakil rakyat memberi servis dan khidmat yang terbaik kepada masyarakat. Pemimpin dan staf UPPM perlu bijak berhadapan dengan penduduk kampung dalam memberi layanan yang sewajarnya bagi memenuhi tuntutan mereka.”
“Sebagai jentera utama wakil rakyat, kita haruslah mengutamakan integriti di dalam pekerjaan kita agar martabat UPPM akan dipandang tinggi oleh masyarakat. Di peringkat kepimpinan Negeri, kita akan usaha membantu pihak UPPM untuk mendapatkan fasiliti yang lebih baik”, katanya.
Feddrin Tuliang (kiri) ketika bercakap pada perjumpaan itu
Sementara itu, PPM N.37 Karanaan
Rosdi Abd Ghani, berterima kasih kepada pihak UPPM Negeri Sabah kerana hadir bagi mendengar keluhan dan permasalahan UPPM di setiap bahagian.
Beliau turut bersetuju dengan idea mengenai pemberian peruntukan khas kepada setiap UPPM yang sudah semestinya memberi manfaat dalam memudahkan perjalanan melawat kampung dan juga urusan yang berkaitan.
“Saya mencadangkan agar setiap UPPM di peringkat DUN agar diberikan peruntukan khas bagi memudahkan perjalanan melawat kampung-kampung dan juga kos yang berkaitan. Pada masa ini, staf UPPM mengeluarkan wang sendiri untuk turun melawat kampung-kampung yang dilanda masalah.”
“Selain itu, pewujudan dana khas ini akan turut membantu menyelesaikan masalah-masalah segera yang dihadapi rakyat terutama sekali masalah yang melibatkan bencana alam yang boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja”, jelas Rosdi.
Dalam pada itu, CDO PPM N.37 Karanaan, Haji Suhaimi Manjun, turut menyuarakan aspirasi perubahan di peringkat UPPM bagi memenuhi tuntutan rakyat dan kerajaan selaras dengan slogan “Sabah Maju Jaya”. Selain menjadi tulang belakang kerajaan Negeri Sabah, UPPM harus diangkat peranannya di setiap sudut.
Pada perjumpaan yang berlangsung santai itu, pelbagai topik dan isu yang dibangkitkan termasuklah permohonan untuk mendapatkan peruntukan khas bagi setiap UPPM Bahagian, cadangan kursus pemantapan kepimpinan dan organisasi, kajian semula kadar gaji dan elaun yang berpatutan dan banyak lagi.
Turut hadir, Pemimpin Kemajuan Masyarakat UPPM Negeri Sabah, En Jusli Olim, Penyelia Kemajuan Masyarakat, En Jardern J Saliun dan staff UPPM N.37 Karanaan.