Gambar: JALUR GEMILANG…. Supian (kanan) menyerahkan Jalur Gemilang dan Kit Makanan kepada AJK Masjid Nurul Iman Kampung Ganggarak
LABUAN: Program Info On Wheels (IOW) merupakan program inisiatif Jabatan Penerangan dalam mempelbagaikan kaedah penyampaian maklumat dan dasar-dasar Kerajaan melalui hebahan Unit Bergerak sebagai medium perantara, edaran dan penerangan bahan penerbitan oleh pegawai-pegawai penerangan bersama pemimpin masyarakat ke peringkat akar umbi.
Pengarah Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Labuan, Supian Musa berkata, IOW juga berperanan dalam membuat sebaran atau hebahan informasi kepada orang awam tentang maklumat sahih berkaitan sesuatu isu bagi mengekang penularan berita tidak benar.
Beliau berkata, sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2021 (HKHM2021) IOW@Merdeka yang bermula pada 2 Ogos lalu hingga 16 September 2021 bertujuan mengelorakan dan menyemarakan semangat cintakan Negara dan meningkatkan penghayatan rakyat terhadap sambutan HKHM 2021.
“ IOW@Merdeka akan menjelajah ke setiap pelusuk pulau ini bagi sama-sama mengajak masyarakat untuk mengibarkan Jalur Gemilang di premis bangunan, pejabat, kediaman dan di mana sahaja kita berada melalui Kempen Kibar Jalur Gemilang bagi menggelorakan lagi kebanggaan kita kepada identiti Negara dan simbol kesatuan sebagai rakyat Malaysia” katanya ketika ditemui media pada Majlis Penyerahan Kit Makanan dan Jalur Gemilang sempena Pelancaran Program IOW @ Merdeka di Masjid Nurul Iman Kampung ganggarak, baru-baru ini.
Supian berkata, IOW@Merdeka turut membuat edaran Jalur Gemilang ke lokasi-lokasi tertentu seperti masjid dan surau, kawasan penjaja, premis kerajaan dan kawasan kampung bagi memberikan suasana sambutan HKHM 2021 yang lebih ceria.
Prihatin dengan golongan yang terkesan dengan pandemik COVID-19, IOW@Merdeka dengan kerjasama Perbadanan Labuan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Labuan turut mengambil inisiatif dengan mengedarkan 200 kit makanan kepada golongan yang kurang berkemampuan di seluruh Labuan.
Selain itu, IOW@Merdeka juga masih meneruskan hebahan mengenai sebarang maklumat terkini mengikut situasi semasa seperti hebahan Pelan Pemulihan Negara – SOP Fasa 1 dan 3 serta informasi lain yang penting untuk diketahui masyarakat.