Gambar sekadar hiasan
KUALA LUMPUR: Mana-mana individu tanpa sebarang dokumen di Sabah diberi peringatan supaya pulang ke negara asal secepat mungkin.
Pendatang tanpa izin (PATI) yang gagal berbuat demikian dan berhasrat terus menetap di Negeri Di Bawah Bayu itu bakal ditangkap menerusi operasi besar-besaran dalam tempoh terdekat.
Memberi peringatan itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata kerajaan komited untuk merungkai masalah lambakan warga asing tanpa dokumen sah di Sabah.
Hasil penelitian lanjut, katanya, isu lambakan warga asing di negeri terbabit semakin meruncing kerana masih wujud pengeluaran kad yang tiada perakuan oleh mana-mana agensi rasmi.
“Saya ingin tegaskan, kerajaan tidak akan keluarkan lagi kad IMM13 tetapi yang jadi masalah sekarang sehingga berderet nak daftar bukan IMM13.
“Sebaliknya dokumen lain yang kita sendiri tidak tahu siapa ingin keluarkan dalam zaman kerajaan Parti Warisan Sabah (WARISAN).
“Oleh itu, saya ambil tindakan untuk memastikan tiada lagi pengeluaran dokumen selain yang sedia ada buat masa ini.
“Kita nak selesaikan isu warga asing di Sabah, justeru sesiapa yang tidak mempunyai dokumen dan tinggal di Sabah, cepat pulang ke negara asal kerana kita akan buat operasi besar-besaran,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja bagi Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat, hari ini.
Isu lambakan PATI di Sabah yang didakwa berpunca daripada pelbagai faktor khususnya dikaitkan dengan pemberian Pas Sementara Sabah (PSS), IMM13, Sijil Banci dan Kad Burung-Burung.
Perdebatan hangat menerusi celahan bertali arus tercetus daripada beberapa ahli Parlimen seperti Datuk Mohamad Alamin (BN-Kimanis), Ma’mun Sulaiman (WARISAN-Kalabakan), Datuk Azizah Mohd Dun (BERSATU-Beaufort) dan Vivian Wong Shir Yee (DAP-Sandakan).
Keadaan itu seakan tidak membenarkan Hamzah memberi penjelasan berhubung polemik lambakan warga asing di Sabah kerana masing-masing ingin menegakkan pendirian, selain memberi gambaran sebenar di Negeri Di Bawah Bayu itu.
Mengetepikan celahan lanjut, Hamzah menjelaskan kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing di Sabah (JKPWAS), susulan syor yang dikemukakan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai PATI di negeri terbabit.
“JKPWAS bertanggungjawab untuk mengkaji dan membincangkan isu berkaitan pendatang dan orang asing di Sabah,” katanya.
Sumber: Berita Harian