PERASMIAN…James memalu gong sebagai tanda Majlis Perasmian Persatuan Pengusaha Kopi Tenom di Padas Farmstay, Kemabong.
TENOM: Ikon Pertanian akan memberi semangat dan dorongan kepada penduduk kampung untuk lebih komited mengusahakan tanah mereka dengan pelbagai jenis tanaman dan penternakan.
Menegaskan perkara itu, Pembantu Menteri Pertanian Dan Perikanan I Negeri Sabah, Datuk James Ratib berkata, dengan adanya ikon pertanian disatu-satu kawasan, bakal memberikan motivasi kepada penduduk kampung yang mempunyai tanah untuk diusahakan dengan tanaman menguntungkan.
“Seperti di daerah Tenom, produk kopi daerah ini memang terkenal diseluruh negara malah antarabangsa. Dengan adanya seorang ikon tanaman seperti pemilik Padas Farmstay dan Kopi Fatt Choi maka akan lebih ramai petani lain yang berminat untuk meneroka perniagaan berasaskan kopi seperti mereka”. Katanya.
Menurutnya, selain ikon pertanian, pihak kementerian juga memiliki pegawai yang bertaraf ‘Pakar’ dalam satu-satu bidang umpamanya ‘Pakar Tanaman Kopi’ agar setiap petani atau pengusaha kopi mempunyai rujukan bagi mendapatkan khidmat nasihat dan latihan praktikal.
Katanya, kementerian seringkali menghantar para pegawai berkenaan menjalani kursus lanjutan yang sesuai agar mereka terus fokus memberikan tunjuk ajar kepada petani dan penternak untuk menjana pendapatan lumayan.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Kopi Tenom, Tham Tau Kong menyerahkan cenderahati kepada James
“Kita yakin dengan adanya fokus kepakaran Pegawai Pertanian, mereka mampu membimbing lebih ramai usahawan tani untuk lebih berjaya. Umpamanya tanaman Kopi Robusta, jika tiada pakar tentang tanaman ini, sudah tentu kualitinya turut merosot”. Tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perasmian Persatuan Pengusaha Kopi Tenom di Padas Farmstay, Kemabong dekat sini pada Isnin yang turut dihadiri para pengusaha kopi dari sekitar daerah Tenom.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan masyarakat yang tinggal di kampung agar terus gigih mengusahakan tanah mereka dengan pelbagai tanaman menjana pendapatan.
Jelasnya, walaupun pihak kerajaan berusaha untuk memberikan seberapa luas tanah kepada penduduk kampung, namun jika tidak diusahakan maka inisiatif itu hanya sia-sia dan tidak memberikan hasil yang baik.
“Pelbagai usaha kerajaan antaranya mengeluarkan status tanah daripada hutan simpan demi membantu penduduk kampung. Namun ada individu yang hanya berfikiran jika memperolehi tanah tersebut, mereka akan menjualnya kepada pihak lain. Itu perlu dielakkan”. Katanya.
James yang juga Adun Sugut berkata, sebagai seorang pemimpin, beliau turut menjadikan dirinya sebagai ikon pertanian kepada rakyat dikawasannya dengan mengusahakan ladang termasuk membuka beberapa rumah burung walit bagi memberi dorongan kepada mereka.
Jelasnya, fokus beliau bukannya untuk mencari kekayaan peribadi sebaliknya untuk menarik lebih ramai penduduk mencontohi jejak langkahnya dan rajin berusaha ditanah milik mereka.
“Saya mengusahakan tanah dengan pelbagai tanaman seperti kelapa, kelapa sawit, avocado dan sacha inchi. Apabila kesemuanya membuahkan hasil, mungkin kilang-kilang dapat dibina dikawasan saya. Maka anak-anak muda yang telah berhijrah ke negeri lain dapat balik semula ke kampung dan berkerja ditempat sendiri”. Tegasnya lagi.
Beliau turut menjelaskan, kementeriannya akan membekalkan kemudahan benih, baja dan mesin pembuka kulit kopi kepada petani dan pengusaha kopi dinegeri ini bagi membantu meningkatkan pengeluaran produk mereka.
Dalam masa sama, James turut berharap agar pengusaha kopi terus meningkatkan daya saing mereka dalam pengeluaran kopi untuk dipasarkan ke peringkat nasional dan antarabangsa.
“Ketika ini, beberapa cafe hotel bertaraf lima bintang di Kuala Lumpur ada menghidangkan Kopi Tenom. Ini menunjukkan produk tersebut terkenal di merata tempat”. Jelasnya.
James menambah, pengusaha kopi juga perlu memenuhi prasyarat dalam Skim Pensijilan Yang Komprehensif untuk sektor tanaman seperti mana yang termaktub dalam terma dan syarat ‘Malaysia Good Agricultural Practice (myGAP).
Turut hadir dalam majlis itu termasuklah Tham Tau Kong, Pengerusi Persatuan Pengusaha Kopi Tenom Sabah, Sabili Ahunang, Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM) N.43 Kemabong dan Zakaria Jamal, Penolong Pegawai Daerah Tenom.