27 C
Kota Kinabalu
Ahad, April 21, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

ICST’21 Inisiatif UMS Himpun Pakar Bincang Kaedah Perkukuh Kualiti Pendidikan Era Pandemik

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin

KOTA KINABALU, 23 SEPTEMBER – Pandemik COVID-19 yang melanda dunia sejak tahun lalu telah banyak menjejaskan sistem pendidikan kebanyakan negara serta memaksa para pendidik menggalas cabaran mengaplikasikan teknologi dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P).

Menyedari hakikat tersebut, Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Pusat E-Pembelajaran (PEP) mengambil inisiatif menghimpunkan pakar-pakar berkaitan pendidikan, psikologi dan teknologi melalui penganjuran Persidangan Antarabangsa Masyarakat dan Teknologi 2021 (ICST’21) kali pertama yang berlangsung secara maya.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, senario dunia semasa menunjukkan perlunya masyarakat mengatasi cabaran pandemik yang telah berlarutan lebih dua tahun dengan mengadaptasi inovasi teknologi dalam penyampaian ilmu pengetahuan.

“Persidangan ini menghimpunkan ahli akademik, pelajar dan pakar antarabangsa dalam bidang Pendidikan, Psikologi dan Pembelajaran Berasaskan Teknologi bersama-sama dengan ahli industri yang berminat untuk memahami proses menyelaraskan strategi pedagogi untuk memenuhi keperluan dunia masa kini.

“Pembelajaran Berasaskan Teknologi dilihat telah berkembang dengan pesat sejak dua tahun ini dengan institusi pendidikan mengambil usaha mengatasi pelbagai masalah yang menjejaskan P&P dan penutupan kelas secara fizikal, dan ini sekali gus memperlihatkan satu transisi kepada pembelajaran dalam talian serta sistem penilaian yang memenuhi keperluan generasi muda,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan perasmian persidangan tersebut yang disiarkan secara langsung melalui platform Facebook rasmi UMS.official dan Cisco Webex.

Taufiq menambah, pembelajaran secara dalam talian telah menjadi satu elemen kepada ahli akademik serta pengurusan universiti bagi perkongsian pengetahuan, pandangan dan pengalaman termasuk dalam sesi webinar ICST’21.

“Dalam ketidaktentuan akibat pandemik COVID-19, para pensyarah, tutor mahupun penyelidik perlu memainkan peranan dalam mewujudkan suasana dan platform yang memastikan ilmu pengetahuan yang dikongsi kepada para pelajar disampaikan dengan baik sepanjang semester berlangsung.

“Saya percaya ini tidak hanya melibatkan penggunaan aplikasi Google Meet, Webex, Google Classroom semata-mata, tetapi lebih dari itu, pendidik serta penyelidik dituntut untuk menyediakan modul pembelajaran digital kepada pelajar secara kreatif dan bersesuaian.

“Para pendidik juga perlu memastikan pelajar yang mengikuti pembelajaran dalam talian tidak hanya mendapat akses penuh kepada setiap bahan pembelajaran, tetapi juga turut bersama-sama berinteraksi seperti kelas secara fizikal,” kata Taufiq.

Ujar beliau, objektif keseluruhan P&P secara dalam talian adalah sama seperti P&P secara bersemuka iaitu untuk memberikan keseronokan dalam pembelajaran, peluang untuk interaksi dan menggali ilmu pengetahuan.

Selain sejumlah 80 kertas kerja dibentangkan pada persidangan tersebut, turut berlangsung tiga ucaptama oleh penceramah iaitu Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Commonwealth of Learning, Canada, Prof. Asha Singh Kanwar; Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak; dan Pengarah Pusat Pembangunan Kecemerlangan Akademik, Universiti Sains Malaysia, Prof. Dr. Abd Karim Alias.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN