27 C
Kota Kinabalu
Selasa, Februari 18, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Ibadah puasa bukan penghalang ADUN Sugut menjalankan aktiviti turun padang

Serah Sumbangan…James menyampaikan sumbangan kepada wakil penerima dari golongan asnaf dan Ahli Jawatankuasa lima buah masjid disekitar Pulau Jambongan.

BELURAN: Ibadah puasa bukan penghalang kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) N.48 Sugut, Datuk James Ratib untuk terus menjalankan aktiviti turun padang bagi menyantuni rakyat di kawasannya.

Menyifatkan tugas itu suatu perjuangan, beliau yang juga Pembantu Menteri Pertanian Dan Perikanan I Negeri Sabah berkata, walaupun terpaksa menahan lapar dan dahaga menjalani ibadah puasa, namun pelayanan rakyat tidak sepatutnya diabaikan kerana itu merupakan amanah sebagai seorang Wakil Rakyat.

“Amal ibadah ketika menjalani ibadah puasa dengan menyantuni rakyat dan menghulurkan sedikit bantuan merupakan amalan wajib selaku pemimpin. Ia bukan penghalang kerana pada zaman Nabi S.A.W dahulu pun, mereka berhadapan dengan situasi perang ketika menjalani ibadah puasa”. Jelasnya dalam program Jelajah Ramadhan Kg.Pulau Jambongan dekat sini pada Ahad.

Dalam majlis itu, sebanyak 71 bungkusan bakul makanan telah disampaikannya kepada golongan asnaf serta sumbangan kewangan RM500 kepada lima buah masjid merangkumi Masjid Kg.Limau-Limau, Kg Malalin, Kg.Hujung, Kg.Bahanan dan Kg.Babangoh.

Ketika melakukan lawatan dipersekitaran kampung, James menyarankan agar rakyat disekitar perkampungan Pulau Jambongan mengiatkan usaha menanam Kelapa Tacunan dan Matag kerana kedua-dua produk kelapa itu mempunyai harga lumayan dipasaran dalam dan luar negara.

Katanya, kerajaan negeri telahpun menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan sebuah syarikat korporat Linaco Holding Sdn Bhd baru-baru ini untuk membangunkan produk berasaskan santan kelapa di negeri Sabah yang membuka peluang perniagaan kepada rakyat.

“Pulau Jambongan mempunyai potensi pengeluaran kelapa jenis Tacunan dan Matag kerana mempunyai kesesuaian tanah untuk tumbuh besar tanaman itu. Justeru, penduduk di kepulauan ini perlu gigih berusaha”. Tegasnya.

Selain itu, beliau turut memberi jaminan kementerian akan sentiasa memberikan tunjuk ajar serta bantuan sewajarnya kepada petani kelapa dikawasan itu yang benar-benar komited untuk memulakan pertanian tersebut.

James di iringi Pegawai-Pegawai Kerajaan, pemimpin setempat dan penduduk melawat dipersekitaran kampung Pulau Jambongan

Menyentuh mengenai keselamatan penduduk, beliau yakin dengan kesiapsiagaan pihak Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sentiasa mempastikan keselamatan masyarakat di pulau tersebut terjamin.

Katanya, rondaan dan operasi-operasi khas yang dijalankan pihak keselamatan diyakini memberikan keselesaan kepada penduduk di pulau itu dan masyarakat perlu terus memberikan kerjasama kepada agensi keselamatan.

“Jadilah mata dan telinga kepada agensi keselamatan jika terkesan sebarang unsur jenayah dan anasir-anasir yang boleh menggugat keselamatan rakyat. Mereka sentiasa bersiap sedia mempastikan ketenteraman awam terus terjamin”. Katanya.

Turut serta dalam lawatan itu ialah Jalil Atang, Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM) N.48 Sugut, Ustaz Mohd Hadi, Pegawai Tadbir JHEAINS Paitan, Ahmad Kandung, Pegawai Pertanian Daerah Beluran, Ambrose Gurandi, Pegawai Perikanan Daerah Beluran dan Blasius Wong, Penyelia Tanah Pejabat Tanah Daerah Beluran.

.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN