PARIMIN (tiga dari kanan) dan penduduk Kemabong membuat laporan Polis di Balai Polis Tenom.
TENOM: Penduduk Kemabong, Parimin Bangkalon membuat laporan Polis susulan seorang individu pengguna akaun Facebook dengan nama Nurliyana Abdullah memfitnah dan menghina suku kaum Murut.
Menerusi satu hantaran dalam Facebook miliknya, Nurliyana Abdullah pada 28 April 2020 telah memuat naik satu artikel di Facebook yang mempunyai kata-kata hasutan, kebencian dan penghinaan berunsurkan perkauman dan penghinaan terhadap institusi diraja.
“Individu itu dengan sengaja menjatuh atau mengaibkan suku kaum Murut seperti bangsa yang tidak bermaruah (rujuk perenggan ke-17). Suku kaum Murut digambarkan sesat, murtad dan tuduhan melampau kononnya menjahanamkan Sabah.
“Kenyataan artikel dilihat menyemai api perkauman dan kebencian suku kaum Murut terhadap bangsa Melayu.(rujuk perenggan ke-5 dan 7). Ayat bertuankan melayu, pengkhianat dan menjadi tali barut untuk menjahanamkan Sabah.
“Satu penghinaan pada suku Kaum Murut (Murut Kemabong) yang dikatakan men ‘JILAT’ UMNO (rujuk perenggan ke-4),” tegasnya.
Katanya, dalam artikel berkenaan juga menghina institusi diraja dalam negara (rujuk perenggan ke-2). UMNO ditubuh di istana Johor oleh Bugis sebab rajanya Johor memang Bugis.
“Individu bernama Nurliyana Abdullah telah menimbulkan kemarahan dan provokasi kepada suku kaum Murut dengan tuduhan dan dakwaan melulu yang sangat biadap.
Sehubungan itu, sebagai kaum Murut, kami mahu individu ini diambil tindakan undang-undang yang tegas oleh pihak berkuasa kerana mencetuskan fitnah, menghina suku kaum Murut, menyemai api perkauman, buruk sangka terhadap suku kaum Murut dan menghina institusi diraja.
“Artikel ini telah melibatkan perkauman dan dakwaan berat, menyebut suku kaum Murut sebagai pengkhianat hingga menjahamkan Sabah.
Dalam laporan polis itu, Parimin berkata soal bangsa tidak harus dibangkitkan, ini soal maruah bangsa Murut khususnya Murut Kemabong. Dakwaan berat sebelah yang dibuat boleh menyemai prasangka negatif terhadap kaum Murut dan memperlekehkan maruah sesuatu bangsa.
“Tindakan tegas wajar diambil oleh pihak berkuasa kerana kandungan artikel provokatif ini amat serius yang boleh menimbulkan suasana tegang dan mencetuskan isu perkauman jika dibiarkan begitu sahaja,” katanya.
Tegasnya, kami mohon pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) agar meneliti dan menyekat Facebook ‘Nurliyana Abdullah’ kerana sering menimbulkan provokasi melalui tulisan-tulisannya atau ‘post’ di dalam akaun Facebook miliknya. –TAMAT