FRANCIS LANDONG…Suasana disekitar kawasan KDCA hanya meriah dengan acara Pesta Kaamatan setiap bulan Mei, namun selepas itu rumah-rumah budaya akan sunyi sepi tanpa sebarang pengisian sewajarnya.
PENAMPANG: Rumah kebudayaan di Hongkod Koisaan KDCA perlu dihidupkan dengan pelbagai persembahan tradisional secara harian agar mampu mempromosikan etnik orang asal negeri Sabah kepada pelancong dalam dan luar negara.
Mengemukakan cadangan itu, artis dusun terkenal, Datuk Francis Landong berkata, adalah tidak menepati kreteria sekiranya hanya terdapat rumah-rumah kebudayaan mengikut etnik namun tiada pengisian seperti nyanyian, tarian, makanan tradisi serta kraftangan dipamerkan kepada pengunjung.
Tegasnya, inisiatif itu mampu menjana ekonomi bukan sahaja golongan artis tempatan, bahkan penari dan pemain muzik tradisional serta peniaga barangan kraftangan.
“Saya berharap kepimpinan KDCA perlu mencontohi usaha yang dibuat oleh Kementerian Pelancongan Negeri Sarawak dimana terdapat sebuah perkampungan budaya yang mempromosikan keunikan pelbagai etnik orang asal negeri itu”.
Francis berkata, suasana disekitar kawasan KDCA hanya meriah dengan acara pesta kaamatan setiap bulan Mei, namun selepas itu rumah-rumah budaya akan sunyi sepi tanpa sebarang pengisian sewajarnya.
“Jika rumah-rumah kebudayaan disekitar KDCA ini dibuat pengisian dengan nyanyian, tarian, muzik tradisional serta penjualan kraftangan, sudah tentu ianya menjadi sebuah lokasi tarikan pelancong setiap hari”. Jelasnya.
Dalam pada itu, Francis turut berharap agar sebuah pusat rakaman lagu-lagu tempatan turut diwujudkan dikawasan KDCA sebagai dorongan kepada individu yang berbakat dalam bidang nyanyian menampilkan karya seni mereka.
Jelasnya, pelapis artis-artis tempatan perlu ada bagi merancakkan lagi seni hiburan negeri Sabah dan sekiranya diwujudkan sebuah pusat rakaman, ia sekaligus membantu mengurangkan kos dan jarak perjalanan.
“Saya sendiri semakin berusia, dan perlu ada pelapis untuk menghiburkan seluruh rakyat di negeri ini pada masa akan datang. Namun bukan murah kos rakaman masa kini”. Katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu majlis yang diadakan di Rumah Kebudayaan Ranau sempena Persidangan Perwakilan Tiga Tahunan Ke-16 KDCA pada Jumaat.



