ADVERTISEMENTspot_img

Hayati Sirah Nabi Pada Amalan Harian – Hajiji

Hajiji (tengah) menyampaikan anugerah tokoh kepada Hashim (tiga dari kanan)

SANDAKAN: Sirah Nabi Muhammad SAW perlulah dihayati melalui amalan dan bukan sekadar hanya pada lisan.


Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata umat Islam di negeri ini perlu sentiasa menghayati sirah Nabi Muhammad SAW bukan sekadar dalam lisan dan sambutan semata-mata, tetapi melalui amalan hidup harian sebagai umat yang bertanggungjawab dan berbakti demi agama, bangsa dan negara. 


“Sambutan ini bukan sekadar memperingati sejarah kelahiran junjungan besar Nabi SAW, tetapi juga sebagai penzahiran kecintaan terhadap baginda SAW, serta komitmen untuk terus menjadikan sunnah Baginda dan Islam sebagai Ad-din dalam membentuk masyarakat madani yang progresif, sejahtera dan berakhlak mulia. 


“Rasulullah SAW membina masyarakat Madinah dengan asas keimanan, keadilan sosial dan perpaduan antara kaum. 


“Inilah model yang patut kita contohi dan sesuaikan dengan realiti Sabah sebagai sebuah negeri yang kaya dengan kepelbagaian etnik, budaya dan agama. 


“Saya percaya, dengan kerjasama erat antara kerajaan, institusi agama, badan bukan kerajaan dan seluruh lapisan masyarakat, kita mampu membentuk umat madani yang berdaya saing, berakhlak dan berilmu; serta bersatu padu ke arah kemajuan dan kegemilangan negeri Sabah yang tercinta,” ujar beliau dalam perutusan perasmiannya sempena Majlis Perhimpunan Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Sabah 1447H/2025M yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Dewan Masyarakat Sandakan, di sini pada Jumaat.


Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri juga telah memutuskan acara sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri akan dibawa ke daerah-daerah lain khususnya bandar-bandar utama di negeri ini. 


“Ini bermakna acara sambutan tidak hanya tertumpu di ibu negeri sahaja tetapi juga di daerah dan bandar utama di negeri ini. Usaha ini memberi peluang kepada penduduk setempat dapat menyertai atau mengambil bahagian dalam perhimpunan dan perarakan yang sangat bermakna ini, bersama-sama dengan pemimpin-pemimpin negeri,” tambah beliau lagi.


Pada majlis tersebut Hajiji turut menyampaikan Anugerah Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sabah 2025 bagi kategori lelaki kepada Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Ekonomi Dan Pelaburan Sabah (SEDIA) Datuk Seri Panglima Hashim Paijan manakala mantan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran) Datuk Diyanah Abdullah terpilih menjadi Tokoh Maulidur Rasul bagi kategori wanita.


Turut hadir dalam majlis tersebut Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Seri Panglima Kadzim M. Yahya, Timbalan Ketua Menteri III Datuk Ir Shahelmey Yahya, Menteri Sains Teknologi Dan Inovasi Datuk Dr Arifin Mohd Arif, Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib, Pembantu-pembantu Menteri, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong, Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah Datuk Seri Panglima Yahya Hussin dan Pengarah Jabatan hal Ehwal agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Datuk Jumain Abdul Ghani./Penerangan-

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN