27 C
Kota Kinabalu
Ahad, April 21, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

HAYATI DAN TERAPKAN KONSEP ‘KELUARGA MALAYSIA’ DALAM PROGRAM HARI KELUARGA: DATUK ABIDIN

Salapan Amat (Pengerusi Penganjur) menyampaikan cendera kenangan kepada Datuk Abidin

RANAU: Masyarakat di negeri ini digesa menghayati dan menerapkan konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang telah menjadi sebutan apabila ia diperkenalkan oleh Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sebarang penganjuran hari keluarga.

Berucap merasmikan Program Hari Keluarga Kampung Longut Bersama Pemimpin, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah Merangkap ADUN N38 Paginatan, Datuk Abidin Madingkir berkata konsep ‘Keluarga Malaysia’ menggariskan tiga teras utama iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran. Manakala antara pengayaan nilai di bawah tiga teras itu ialah Menyemai budaya integriti dalam keluarga, Menjadikan budaya amanah sebagai budaya keluarga, Menjadikan prinsip keadilan sebagai teras pengukuhan keluarga dan Menjadikan amalan bermusyawarah sebagai amalan keluarga.

Sebuah keluarga yang sejahtera memiliki hubungan yang serasi dan seimbang antara ahlinya, saling memberi dan menerima selain setiap perbezaan diterima dengan hati terbuka, manakala kelemahan yang timbul pula diatasi secara bersama.

“Berdasarkan konsep ‘Keluarga Malaysia,’ jelas membawa kita kepada pentingnya kebersamaan dan kesepakatan ‘institusi keluarga’ yang dirujuk sebagai ‘penduduk kampung’ dalam menghadapi atau menjayakan sesuatu program seperti yang telah dianjurkan oleh Badan JPKK dan Ketua Kampung pada hari ini,” jelas Datuk Abidin.

“Kita ucapkan syabas kepada Ahli Jawatankuasa Penganjur dan semua penduduk di kampung ini dan sekitar kerana telah berjaya mengekalkan amalan kebersamaan dan semangat kekeluargaan yang erat yang boleh dijadikan contoh. Saya difahamkan sudah menjadi budaya penduduk di sini, walaupun ada peruntukan sedikit untuk mengadakan sesuatu program, ianya dilaksanakan secara bergotong-royong dan bersatu hati. Inilah antara nilai yang terkandung dalam Konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang perlu diterapkan di kalangan penduduk tanpa melihat perbezaan fahaman politik, agama dan juga kaum,” tegas Datuk Abidin.

Terimakasih..19 wargatua penerima sumbangan bakul makanan tersebut

Dalam pada itu sempena sambutan bulan kebangsaan pada tahun ini Datuk Abidin turut menekankan mengenai pentingnya menghapuskan prasangka antara kumpulan dalam masyarakat.

“Kita perlu bersepakat, duduk bersama dan berunding sebagai sebuah keluarga bukannya mencari kesalahan, berdengki serta berprasangka sesuai dengan tema Hari Kebangsaan pada tahun ini ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’,” tegas Datuk Abidin.

“Untuk menyemarakkan sambutan bulan kebangsaan, marilah kita bersama-sama mengibarkan bendera jalur gemilang dan bendera negeri di kediaman ataupun premis masing-masing. Pengibaran bendera sempena Hari Kebangsaan bukan sekadar menjadi simbol  perpaduan kaum tetapi mampu menyuntik semangat patriotisma terutama sekali di kalangan kanak-kanak dan generasi muda,” jelas Datuk Abidin lagi.

Dalam majlis itu Datuk Abidin telah menyampaikan sumbangan berbentuk bakul makanan kepada 19 orang wargatua termasuk seorang pesakit.

Turut hadir ialah Juis Konsuling (Setiausaha Bahagian STAR Paginatan), Hisyamudin Harun (PPM Paginatan), Japli Sigal (CDO), Winek Yuni (Ketua Wiranita STAR Paginatan), Hilary Salmon (Pemaju Mukim Nalapak) dan Sibin Keidau (Pemaju Mukim Suminimpod).

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN