27 C
Kota Kinabalu
Ahad, April 14, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

HARGAI DEWAN SEBAGAI ASET PENTING KAMPUNG: DATUK ABIDIN

Datuk Abidin bersama adik kecil yang turut ditugaskan semasa menandatangan plak perasmian

RANAU: Masyarakat yang tinggal di berbagai tempat di negeri ini diingatkan supaya bersama-sama menghargai dan menjaga keselamatan serta kebersihan dewan yang ada sebagai aset penting kampung agar sentiasa terurus, terjaga dan selamat diguna.

Berucap merasmikan Dewan Siti Mulah Kampung Bahab baru-baru ini, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah merangkap ADUN N38 Paginatan, YB Datuk Abidin Madingkir berkata ada berlaku di tempat lain keadaan luar dan dalam dewan tidak lagi terurus seolah-olah tiada pentadbir. Ini menggambarkan kurangnya kerjasama di kalangan penduduk kampung tersebut atau mungkin juga kurang pengetahuan bagaimana mengurus dewan.

Untuk lebih sistematik pengurusan dewan hendaklah diletakkan di bawah urustadbir badan JPKK. JPKK akan memangil mesyuarat kampung terlebih dahulu untuk membentuk AJK khas dewan bagi melaksanakan pengurusan dewan seperti menjaga kebersihan dan tempahan mengikut kadar sewa yang berpatutan. Jika terdapat kerosakan yang perlu diselenggara, AJK Dewan hendaklah melaporkan kepada JPKK untuk mengadakan gotong-royong. Demikian juga pendapatan sewa dewan yang digunakan untuk membayar bil elektrik dan air. Pengerusi JPKK juga sentiasa menjalankan pemantauan dewan dari semasa ke semasa.

Datuk Abidin turut menyeru penduduk terutama para belia agar dapat menggunakan dewan dengan sebaik mungkin. Banyak program kampung boleh diadakan seperti menjalankan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dan berpersatuan seperti pusat pentadbiran, mesyuarat dan perbincangan persatuan, aktiviti kewanitaan, kejiranan, aktiviti bersukan, majlis perkahwinan dan sebagainya.

 “Sebenarnya pada mulanya apabila permohonan pembinaan dewan ini telah diluluskan, saya dimaklumkan oleh Pengerusi JPKK bahawa penduduk kampung menghadapi masalah tapak mendirikan dewan. Namun kita bersyukur kerana akhirnya masalah ini dapat diselesaikan apabila saudara kita Manan telah berbesar hati mewakafkan kawasan ini sebagai tempat pembinaan. Terimakasih kepada beliau kerana dapat memikirkan soal kepentingan pembinaan dewan di kampung ini untuk kegunaan penduduk dan generasi akan datang,” jelas Datuk Abidin.

“Bagi dewan yang baru dirasmi pada hari ini, kita memahami masih banyak kemudahan yang diperlukan. Kita terpaksa tunggu peruntukan tahun 2023 kerana peruntukan pada tahun ini telah habis diagih-agihkan di 82 buah kampung di DUN Paginatan. Di tempat lain juga memerlukan perhatian dan kita sentiasa sedaya upaya melakukan agihan secara adil dan sama rata dengan mengutamakan keperluan mendesak terlebih dahulu,” ujar Datuk Abidin.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN