Dr. Anas (kiri sekali) ketika menyaksikan pemeriksaan saringan kesihatan di Klinik Melinium di sini pada Selasa.
LABUAN: Hanya sekitar 4 peratus atau kira-kira 500 daripada 12,631 penduduk Labuan dalam kumpulan B telah memanfaatkan Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) sejak ia dilancarkan dua tahun lalu.
Demikian diberitahu oleh Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth Coporation Sdn. Bhd, Dato’ Dr Anas Alam Faizli dalam taklimatnya kepada media di sini, pagi kelmarin.
Terdahulu sebelum itu beliau telah menyaksikan empat warga Labuan B40 yang membuat pemeriksaan saringan kesihatan percuma (PeKa B40) yang diadakan di Klinik Melinium di pusat bandar.
Beliau berkata, jumlah penduduk Labuan yang layak untuk membuat saringan kesihatan yang disediakan secara percuma oleh kerajaan melalui ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd masih terlalu kecil berbanding dengan negeri negeri lain yang penduduknya lebih ramai.
“Labuan hanya sebuah pulau yang kecil, sepatutnya 12,631 penduduknya yang layak menerima skim itu (PeKa B40) telahpun memanfaatkan sepenuhnya tetapi sehingga hari ini hanya 4 peratus sahaja yang tampil untuk membuat saringan” katanya.
Beliau berkata terdapat 7 buah klinik swasta dua klinik kesihatan kerajaan yang berdaftar dengan ProtectHealth Corp, untuk memberikan perkhidmatan PeKa B40.
“Antaranya Klinik Kesihatan UTC, Klinik Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan, Klinik Milenium, Klinik Ramli and Partners, Klinik Sugery Bakti Sdn. Bhd, Klinik Suria Sdn.Bhd, Klinik Wawasan Labuan, Family Care Clinic Labuan dan Klinik Wilayah Persekutuan Labuan Sdn. Bhd.
“Ini adalah usaha terbaik kerajaan dan kami berharap mereka yang layak iaitu penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dapat menggunakan sepenuhnya skim ini,” katanya.
Menurut Dr Anas, selain itu Skim PeKa B40 turut menawarkan faedah bantuan untuk membeli peralatan perubatan sehingga RM20,000 termasuk insentif selesai rawatan kanser sebanyak RM1,000 dan insentif pengangkutan RM1,000 untuk Labuan, Sabah dan Sarawak.
“Pemeriksaan kesihatan adalah amat penting untuk pengesanan awal penyakit tidak berjangkit yang jika tidak diurus boleh menyebabkan peningkatan penyakit yang akan mengakibatkan kos penjagaan kesihatan yang lebih tinggi bukan sahaja untuk individu itu sendiri tetapi juga kerajaan” katanya.



