Datuk James Ratib
Hampir RM53 juta peruntukan kerajaan persekutuan untuk hospital, klinik dan sebagainya di Sabah: James
KOTA KINABALU: Sehingga kini kerajaan persekutuan turunkan hampir RM53 juta peruntukan kepada Sabah bagi pembinaan hospital, klinik dan kemudahan kesihatan, serta penyediaan perkhidmatan kesihatan bergerak untuk penduduk luar bandar.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), Datuk James Ratib berkata, jumlah peruntukan tersebut adalah Peruntukan di bawah Pembangunan (P42).
Katanya, RM8,797,645 peruntukan tersebut melibatkan pembaikan dan naiktaraf bangunan, sistem kejuruteraan dan infra di klinik-klinik Kementerian Kesihatan Malaysia di Negeri Sabah.
Peruntukan untuk naiktaraf, ubah suai dan pembaikan di fasiliti kesihatan tahun 2024 melibatkan peruntukan berjumlah RM9,999,500, sementara menaiktaraf, mengubahsuai dan membuat kerja-kerja pembaikan di fasiliti kesihatan melibatkan peruntukan berjumlah RM3,650,591.
Peruntukan untuk naik taraf dan pembaikan Wellness Hub ANMS 2.0 tahun 2024 melibatkan peruntukan berjumlah RM1,100,000, manakala menaiktaraf, ubah suai dan pembaikan di klinik daif tahun 2024 melibatkan peruntukan berjumlah RM21,500,000.
Tambah James, peruntukan untuk pembaikan, naiktaraf dan penyelenggaraan kuarters Klinik Kementerian Kesihatan Malaysia di Negeri Sabah melibatkan peruntukan berjumlah RM3,690,000.
“Untuk pembaikan, naiktaraf dan penyelenggaraan kuarters Hospital Kementerian Kesihatan Malaysia di Sabah melibatkan peruntukan berjumlah RM2,440,000.
“Manakala bagi tujuan perolehan kenderaan dan peralatan bagi empat Pasukan Pergigian Bergerak Sabah RM1,800,000,” kata beliau.
James yang juga Exco Kesihatan Negeri Sabah berkata demikian dalam satu kenyataan pada Isnin
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan tentang keperluan kesihatan lain yang penting dan mendesak untuk Sabah, serta sebab-sebab yang timbul.
Untuk Bahagian Perubatan, katanya terdapat ia terbahagi kepada dua kategori iaitu Keperluan Pembangunan Fasiliti Hospital dan Keperluan Penggantian / Penambahan / Perolehan Aset Perubatan.
Kategori Keperluan Pembangunan Fasiliti Hospital, katanya, melibatkan keperluan naiktaraf parking bertingkat (isu parking) untuk Hospital Queen Elizabeth, dan keperluan penyelarasan Tanah Qhazanah untuk tujuan perkembangan perkhidmatan perubatan untuk Hospital Queen Elizabeth II.
“Kategori yang sama turut melibatkan keperluan Tempat Letak Kenderaan (TLK) sementara semasa proses decanting projek Naiktaraf HWKKS. Keperluan ruangan masuk kedua (2nd Entrance) ke HWKKS. Kedua-dua perkara ini melibatkan tanah di bawah SEDCO dan DBKK.
“Selain itu, turut termasuk keperluan tapak tanah untuk Projek Naiktaraf Bangunan Gantian Hospital Ranau, keperluan Pembaikan Blok Klinikal Lama HDOK – Isu keretakan, keperluan tapak tanah untuk Projek Naiktaraf Bangunan Gantian Hospital Beluran, keperluan Pembaikan Blok Klinikal Hospital Lahad Datu – Isu keretakan.
“Ia turut melibatkan keperluan menaiktaraf Hospital Semporna (sebagai Hospital Berpakar), dan yang terakhir, keperluan Projek Menaiktaraf Blok Bangunan Baru HMBP untuk membolehkan perkhidmatan kepakaran dapat diperluas dan dikembangkan,” kata beliau.
Sementara itu, bagi kategori Keperluan Penggantian / Penambahan / Perolehan Aset Perubatan, james memberitahu bahawa ia melibatkan keperluan Penggantian/Penambahan/Perolehan Aset Perubatan di 24 Hospital KKM negeri Sabah yang melibatkan kos lebih kurang RM208 juta.
Untuk Bahagian Kesihatan Awam, James memberitahu ia melibatkan isu Ambulans, aset perubatan yang kritikal, dan Pakar Perubatan Keluarga (FMS).
Berkenaan Kenderaan Ambulans termasuk jawatan pemandu, katanya, Sabah memerlukan pertambahan Ambulans 4×4 (pacuan empat roda) termasuk pemandu sebanyak 50 unit.
Tambah beliau, juga wujud keperluan van ambulans tambahan untuk klinik termasuk pemandu sebanyak 120 unit dan keperluan 4 buah Bot Ambulans untuk Klinik Kesihatan (KK) Karakit di Pulau Banggi, KK Jambongan di Beluran, KK Pulau Nunuyan di Sandakan dan KK Sungai Tamang di Pulau Sebatik.
“Justifikasi untuk hal ini ialah, jawatan pemandu merupakan isu bukan sahaja di Sabah tapi di seluruh Malaysia dan keperluan jawatan tambahan dari Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia.
“Kenderaan ambulans sangat kritikal diperlukan kerana tiada pengangkutan rujukan kes kecemasan dari klinik terutama dari klinik di kawasan pedalaman.
“Beberapa klinik sahaja hanya mempunyai 1 unit ambulan dan sekiranya ambulan tersebut digunakan untuk rujukan kes kecemasan, maka pesakit kecemasan yang berada diklinik terpaksa menunggu ketibaan ambulans kembali dari menghantar pesakit ke hospital,” katanya.
Tegas James, klinik yang jauh dari hospital akan mengambil masa berjam-jam untuk kembali ke klinik dan perlu menghantar pesakit seterusnya ke hospital, dan situasi ini memenatkan pemandu ambulans untuk berulang alik sekiranya kes kecemasan berlaku.
“Keperluan ambulans dan jawatan pemandu agar dapat menampung keperluan perkhidmatan kecemasan di Sabah yang sangat besar geografi berbanding negeri di Semenanjung Malaysia.
“Bit ambulans juga diperlukan untuk rujukan kes kecemasan dari kawasan kepulauan di Sabah,” katanya.
Isu kedua, katanya, Klinik kesihatan di Sabah memerlukan penggantian dan pertambahan aset perubatan yang kritikal iaitu mesin ultrasound (135 unit), mesin defibrillator untuk jantung (115 unit), katil kecemasan untuk 150 buah klinik (300 unit), funduscamera untuk setiap daerah (15 unit) dan penggantian kerusi/meja kakitangan termasuk kerusi menunggu untuk pesakit seluruh fasiliti klinik di Sabah yang telah usang ( terdapat 330 buah klinik).
Isu ketiga, ujar James, ialah keperluan pertambahan Pakar Perubatan Keluarga (FMS) di Klinik Kesihatan Jenis 4 dan ke atas terutama sekali di kawasan pedalaman kerana perkhidmatan Jabatan Pesakit Luar akan diserahkan sepenuhnya ke Klinik Kesihatan terdekat dengan hospital dan perkhidmatan pesakit luar akan dikendalikan sepenuhnya oleh Klinik Kesihatan.