OLEH ADUKA JASNIN SUMAN
RANAU: Ribuan penduduk di tujuh buah kampung di sini merayu kepada kerajaan agar menaik taraf jalan ke kampung mereka yang tidak pernah diturap sejak lebih 30 tahun lalu.
Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kg.Kawiyan Sugut, Jairin Andingan (gambar) berkata, masalah jalan raya dihadapi penduduk setiap hari lebih tiga dekad memerlukan perhatian serius kerajaan memandangkan ia menjadi laluan utama untuk beberapa buah kampung termasuk Kg.Kawiyan.

Katanya, selain Kg.Kawiyan yang terletak kira-kira 50 kilometer dari pekan Ranau, terdapat enam lagi kampung berhampiran iaitu Kg. Paka, Kg. Manikulau, Kg.Kilanas, Kg.Giring, Kg.Patau dan Kg.Tinaum, turut menderita dengan keadaan jalan gravel dan tanah merah yang berlumpur ketika hujan (musim tengkujuh) dan berhabuk pada musim panas (kemarau).

“Kalau hujan jalan ini memang akan berlumpur dan licin. Hampir semua jenis kenderaan sukar melaluinya terutama di sepanjang laluan berbukit sejauh lebih-kurang 20 kilometer. Ketika cuaca panas pulak, jalan ini berhabuk dan mengundang pelbagai masalah lain terutama pencemaran udara.
“Kadang-kadang murid sekolah yang berjalan kaki juga terpaksa makan habuk sepanjang jalan ketika musim kemarau semasa pergi dan pulang dari sekolah ,” keluhnya.
Selain penduduk kampung, turut berdepan dengan masalah itu ialah guru-guru yang bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Kawiyan Sugut. Mereka terpaksa turun sambil meredah lumpur tebal untuk menolak atau menarik kenderaan mereka terutama musim hujan.

Menurut Jairin, beliau dan penduduk kampung merasa cukup kecewa dengan keadaan jalan raya yang menjadi penghubung utama antara Kg.Kawiyan dan beberapa buah kampung berhampiran ke pekan Ranau yang sudah sekian lama tidak pernah dinaik taraf.
Jalan berkenaan merupakan laluan utama para penduduk untuk berurusan dan menghantar atau memasarkan hasil pertanian ke pekan Ranau, selain laluan kanak-kanak ke sekolah berhampiran.

Keadaan jalan yang tidak berturap dengan pelbagai kerosakan, ditambah laluan sempit dan berlumpur menyukarkan masyarakat setempat untuk bergerak ke mana-mana destinasi selain keadaan itu boleh mengundang bahaya kepada pengguna seperti kemalangan.
Katanya, penderitaan dan kesengsaraan hidup lebih 2,000 penduduk dari tujuh buah kampung yang masih belum merasai kemajuan dari aspek pembangunan infrastruktur jalan raya sukar digambarkan.

“Wakil rakyat kawasan dan pemimpin di peringkat kampung silih berganti sejak tahun 80an, namun harapan untuk menikmati jalan berturap sehingga kini tiada tanda-tanda akan jadi kenyataan walaupun masalah ini sering disuarakan serta disusuli dengan permohonan dan rayuan yang berulang-ulang.
“Sampai bila kami penduduk kampung menunggu untuk jalan ni diturap?, adakah kami terpaksa menunggunya 50 tahun lagi?”, luah beliau ketika dihubungi Borneo Buletin Online, baru-baru ini.
-Jairin, Pengerusi MPKK-
Ó
Jairin merayu agar kerajaan khusunya Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Negeri Sabah dan KPLB (Persekutuan) termasuk agensi berkaitan dapat memberi perhatian serius kepada masalah ini, sekali gus menaiktaraf jalan berkenaan.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.29 Kundasang, Datuk Dr.Joachim Gunsalam ketika dihubungi berkata, beliau telah kerap kali memohon kepada kerajaan negeri agar peruntukan disediakan untuk menaik taraf jalan tersebut malah dalam persidangan DUNÂ setiap tahun, isu itu turut beliau suarakan.

Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yasin dalam satu catatan yang dikongsikan di laman Facebook milik beliau pada 03 Januari lalu turut memberi komen ringkas berkenaan masalah jalan raya dihadapai penduduk Kg.Kawiyan dan kampung-kampung sekitarnya.

“Jalan ke Kawiyan juga kita beri perhatian supaya rakyat menikmati jalan yang lebih baik. Permohonan dana juga sudah dipohon untuk baiki jalan ini,” jelas Jonathan.-TAMAT–