SERAH…..Dr Fary (kanan) bersama Pengarah JBPM Labuan Ismaidi Ismail (kiri) menyerahkan bakul makanan kepada Sukarelawan MPP yang ditugaskan untuk mengagih kepada penduduk yang terkesan di lokaliti PKPD Bersasar
Oleh: Jainudin Djimin
LABUAN: Hampir 15,000 bakul makanan telah diagihkan kepada penduduk yang terlibat di lapan lokaliti PKPD Bersasar di Labuan menerusi pasukan Ops Wilayah Prihatin Labuan.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr Fary Akmal Osman berkata pengagihan bakul makanan fasa pertama yang mengandungi makanan asas seperti beras, minyak masak, tepung dan gula telah pun diagihkan secara berperingkat bermula pada 18 Jun lalu.
“Manakala bagi fasa kedua pula yang mengandungi makanan asas tambahan seperti sardin, teh, biskut akan diagihkan sebaik sahaja bekalan tersebut tiba dari Kuala Lumpur” katanya di sini kelmarin.
Beliau berkata sebanyak 5,000 bakul makanan tambahan akan tiba di Labuan hari ini menerusi dua penerbangan TUDM dari Subang.
Selain itu katanya, Perbadanan Labuan juga turut menyediakan bantuan bakul makanan kepada warga Labuan yang terkesan di luar kawasan lapan lokaliti PKPD Bersasar yang dianggarkan sebanyak 3,000 hingga 5,000 keluarga.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pasukan Ops Wilayah Prihatin Labuan yang terdiri daripada Perbadanan Labuan, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Kerja Raya (JKR), dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta MPP Labuan yang bertungkus lumus mengagihkan bantuan bakul makanan sehingga larut malam.