GAMBAR: MERIAH…. Rithuan (enam dari kanan), Rozman (enam dari kiri) bersama sebahagian warga Labuan yang menjayakan HSN peringkat Labuan di Kompleks Sukan Air Antarabangsa Labuan, pada Sabtu.
LABUAN:Hampir 10,000 warga Labuan daripada pelbagai lapisan masyarakat memeriahkan Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan yang diadakan di Kompleks Sukan Air Antarabangsa Labuan, pagi Sabtu.
Program HSN yang kembali meriah dan disambut secara fizikal selepas dua tahun sepi akibat pendamik COVID 19 telah disempurnakan perasmiannya oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Haji Rithuan Mohd Ismail.
Hadir sama menyemarakan HSN tahun ini, Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli, Ketua Polis Daerah Labuan, Superitendan Ahmad Jawila, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS), Muhammad Syahffie Haji Japril, Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen), Ab. Rasil Hajatil, Pengarah Jabatan Pendidikan, Yusop Muhammad, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Ansharey Matarsad dan Presiden Majlis Belia Labuan, Abdul Mutalib Sahari.
Antara aktiviti yang berjaya menarik penyertaan orang ramai khususnya golongan belia ialah, Fun Run sejauh 5km, Fun Ride RB sejauh 30km, Fun Ride MTB sejauh 30km, Fun Ride Folding Bike sejauh 25km dan Family Fun Walk sejauh 3km.
Sementara itu, Haji Rithuan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk HSN peringkat Labuan dalam ucapan perasmiannya berkata, Hari Sukan Negara yang dilancar secara serentak di seluruh negara pada pagi ini (Sabtu) bertujuan untuk merealisasikan hasrat dan inpirasi kerajaan bagi menggalak dan mewujudkan masyarakat yang sentiasa cergas dan aktif disamping menyemarakkan semangat perpaduan dikalangan rakyat pelbagai kaum.
“Dalam waktu yang sama HSN bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada rakyat Malaysia yang terlibat dalam aktiviti pembangunan sukan di peringkat akar umbi” katanya.