Nizam
KOTA KINABALU: Pengumuman kerajaan Sabah untuk menambah 10 lagi unit Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula tahun hadapan disifatkan sebagai bukti jelas keprihatinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terhadap nasib rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas merangkap Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Haji Nizam Abu Bakar Titingan berkata langkah itu menjadikan keseluruhan 50 unit Rumah Mesra SMJ disediakan di setiap DUN seluruh Sabah.
Beliau berkata peningkatan jumlah itu amat signifikan dalam membantu rakyat, khususnya golongan belia yang baru berumah tangga dan berdepan tekanan kos sara hidup serta kekangan tempat tinggal.
“Tambahan unit ini bukan sahaja memberi kelegaan kepada anak muda, malah menjadi simbol keberkesanan dasar Sabah Maju Jaya (SMJ) yang benar-benar menyentuh kehidupan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pelaksanaan projek Rumah Mesra SMJ mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri memastikan pembangunan perumahan rakyat dilaksanakan secara menyeluruh dan inklusif merangkumi kawasan bandar dan luar bandar.
Katanya, pendekatan kerajaan yang menggabungkan kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta turut mempercepatkan pembangunan tanpa membebankan sumber kewangan negeri, sekali gus membolehkan dana negeri difokuskan kepada inisiatif sosioekonomi lain.
“Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor telah membuktikan bahawa agenda Sabah Maju Jaya bukan sekadar slogan, tetapi pelan tindakan yang dilaksanakan secara konsisten dan berpaksikan keperluan sebenar rakyat,” katanya.
Datuk Nizam yang juga Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah menegaskan rakyat, khususnya golongan muda, harus melihat inisiatif tersebut sebagai bukti jelas bahawa kerajaan GRS bekerja dengan ikhlas dan berfokus kepada kesejahteraan rakyat, bukan sekadar berpolitik atau menabur janji.



