Robert semasa mempengerusikan mesyuarat AJK Pelaksana Jelajah GRS Parlimen Keningau.
KENINGAU:Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Parlimen Keningau akan menganjurkan Jelajah GRS bersama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor pada 28 Ogos ini.
Timbalan Pengerusi GRS Keningau Datuk Robert Tawik berkata, jelajah yang bakal diadakan itu nanti bertujuan memantapkan lagi GRS Parlimen Keningau yang dianggotai oleh Parti Star Sabah, Bersatu, PBS, Usno dan SAPP.
Robert yang Pengerusi Pelaksana Jelajah GRS Parlimen Keningau menyatakan perkara itu dalam satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pelaksana dan pembentukan Ahli Jawatankuasa GRS Parlimen Keningau di Dewan Mini Pexoholic di sini baru-baru ini.
Ketua-Ketua Parti Komponen GRS yang hadir pada mesyuarat itu.
Mesyuarat itu dihadiri oleh Penolong Setiausaha Agung Star Sabah yang juga Setiausaha Jawatankuasa Pelaksana Rizal Johari dan Ketua-Ketua Bahagian
komponen GRS Keningau yang terdiri dari PBS, Usno dan SAPP.
Pembantu Menteri Kerja Raya dan ADUN Bingkor itu berkata, pada Jelajah GRS itu nanti semua Presiden Parti Komponen GRS dan Parti mesra GRS akan dijemput bersama dengan ahli parti masing-masing.
Selain itu katanya, barisan kepimpinan GRS Parlimen Pensiangan dan Tenom serta pemimpin-pemimpin parti mesra GRS turut dijemput.
Pada masa sama Robert memaklumkan Presiden Parti Star Sabah Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan sebagai Pengerusi Penyelaras GRS Parlimen Keningau yang dilantik oleh pucuk pimpinan GRS.