ADVERTISEMENTspot_img

James Ratib: Golongan belia perlu sentiasa tingkatkan pengetahuan dengan menyertai pelbagai kursus kemahiran

PENYAMPAIAN SIJIL…James menyampaikan sijil tamat Kurus Penternakan Udang Kara Air Tawar kepada salah seorang peserta kursus.

PAPAR: Golongan belia perlu sentiasa mempertingkatkan pengetahuan mereka dengan menyertai pelbagai kursus kemahiran termasuk dalam bidang penternakan Udang Kara Air Tawar.

Pembantu Menteri Pertanian Dan Perikanan Negeri Sabah, Datuk James Ratib berkata, sikap malu mencuba perlu dikikis oleh golongan belia sebaliknya terus berdaya saing dan berani mencuba sesuatu bidang agar berjaya mencapai kejayaan.

“Dunia zaman kini perlunya kelompok masyarakat yang berilmu, berdaya saing dan gigih berusaha. Kita kena mencontohi sikap bangsa maju seperti masyarakat di negara China dan Jepun. Mereka gigih berusaha sehingga mampu mencapai taraf ekonomi yang terbaik”. Tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Penutupan Kursus Dan Penyampaian Sijil Penternakan Udang Kara Air Tawar yang berlangsung di Dewan Sabah Agro Industrial Precints Kimanis pada Jumaat.

James (Tengah) mengabadikan gambar kenangan bersama para peserta kursus.

James yang juga Adun Sugut berkata, kementeriannya sentiasa menyediakan peruntukan khas untuk golongan petani dan penternak termasuk pemberian subsidi untuk membantu mereka mengembangkan usaha kearah lebih maju lagi.

“Kementerian Pertanian Dan Perikanan Sabah memang ada menyediakan peruntukan kepada para petani dan penternak untuk kelancaran usaha mereka. Selain itu, subsidi seperti baja dan racun turut disediakan. Justeru itu, anda kena rebut peluang tersebut”. Katanya.

Tambah beliau, kerajaan juga menggalakkan penternakan udang kara air tawar bagi menambah nilai eksport makanan berasaskan perikanan ke luar negara daripada negeri ini.

Jelasnya, ketika ini terdapat permintaan begitu tinggi produk perikanan dari negeri Sabah khasnya di negara China dan Hong Kong namun jumlah pengeksportan ke negara itu masih belum mencukupi.

“Dengan adanya kursus seumpama ini, maka saya berharap anda akan menggunapakai semua ilmu yang diperolehi untuk memulakan usaha penternakan udang kara secara serius. Pulangannya memang lumayan jika anda benar-benar berusaha kerana produk itu nanti boleh dieksport ke luar negara”. Tambah James.

Kursus yang ditaja oleh Jabatan Pembangunan Sumber Manusia Negeri Sabah itu berlangsung selama lima hari dan disertai seramai 20 orang peserta dari seluruh negeri Sabah. Syarikat GE Nitrate Solutions diberi tanggunjawab untuk mengendalikan kursus tersebut.

Turut hadir dalam majlis itu adalah Dg. Norsiah Hj.Ag. Duraman, Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan Sumber Manusia Negeri Sabah dan Gerald Thomas Wong, Pengarah Urusan GE Nitrate Solutions.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN